Oleh: AILEEN ADAM
DI sebalik kejayaan besar yang dicapai dalam dunia muzik dan lakonan, bintang popular Korea Selatan, IU, kini berdepan satu cabaran peribadi yang memerlukan dirinya memperlahankan langkah seketika daripada rutin seni.
Artis serba boleh itu terpaksa menangguhkan beberapa perancangan kerjaya selepas keadaan kesihatannya mula memberi kesan terhadap aktiviti seni, termasuk persembahan muzik yang menjadi antara kekuatan utama perjalanan kariernya.
Menerusi perkongsian di platform komuniti peminat, Berryz, IU memaklumkan dia terpaksa membatalkan konsert yang dijadualkan berlangsung di Goyang pada September depan selain menangguhkan pelancaran album studio keenamnya berikutan keadaan kesihatan yang masih belum mengizinkan.
Dalam perkongsian sama, penyanyi berusia 33 tahun itu mendedahkan dia sedang berdepan dengan Patulous Eustachian Tube Dysfunction (PET) atau sindrom disfungsi tiub Eustachian jenis patulous, satu gangguan yang telah dialaminya sejak beberapa tahun lalu.
Menurut IU, keadaan tersebut sebelum ini masih boleh dikawal, namun simptom yang dialami kebelakangan ini semakin kerap berlaku sehingga mula memberi kesan terhadap keupayaannya menyanyi.
Jelasnya, dia mula mempersoalkan sama ada dirinya terlalu memaksa tubuh sepanjang beberapa tahun lalu kerana terlalu memberi tumpuan kepada kerjaya sehingga kurang memberi perhatian terhadap kesihatan sendiri.
"Saya tertanya-tanya sama ada saya terlalu memaksa diri sepanjang beberapa tahun lalu kerana terlalu memberi tumpuan kepada kerja sehingga mengabaikan keadaan kesihatan sendiri," ujarnya.
IU turut berkongsi bahawa simptom berkenaan pernah berlaku secara berterusan sehingga menyukarkan dirinya untuk kembali ke tahap persembahan seperti biasa.
Keadaan itu menjadi cabaran besar buat IU kerana sebagai seorang penyanyi, pendengaran dan kawalan vokal memainkan peranan penting ketika membuat persembahan secara langsung.
Mengapa PET Memberi Kesan Kepada Penyanyi
Patulous Eustachian Tube Dysfunction berlaku apabila tiub Eustachian yang menghubungkan telinga tengah dengan bahagian belakang hidung dan tekak kekal terbuka lebih lama daripada sepatutnya.
Dalam keadaan normal, tiub tersebut hanya terbuka ketika seseorang menelan, menguap atau mengunyah bagi membantu menyamakan tekanan dalam telinga.
Namun bagi individu yang mengalami PET, keadaan itu boleh menyebabkan mereka mendengar suara sendiri, bunyi pernafasan atau gema dalaman badan dengan lebih jelas.
Bagi penyanyi profesional, gangguan tersebut boleh memberi kesan besar kerana ia berpotensi mengganggu cara seseorang mendengar suara sendiri ketika menyanyi, sekali gus menyukarkan kawalan vokal, pitch dan persembahan di atas pentas.
IU menjelaskan selepas mendapatkan nasihat pakar perubatan, dia diminta untuk tidak meneruskan persembahan berskala besar buat sementara waktu kerana keadaan fizikal ketika konsert boleh memburukkan lagi simptom yang dialami.
Menurutnya, konsert memerlukan banyak pergerakan dan menyebabkan badan kehilangan banyak tenaga serta cecair, sekali gus menyebabkan pakar menasihatkannya supaya tidak meneruskan persembahan buat sementara waktu.
Keputusan itu pastinya bukan mudah buat IU yang sebelum ini sering berusaha memenuhi harapan peminat. Dia turut meluahkan rasa sedih kerana terpaksa membatalkan konsert yang sudah lama dinantikan.
"Saya benar-benar berasa berat hati dan memohon maaf kerana tidak dapat menunaikan janji untuk mengadakan konsert," katanya.
IU menjelaskan dia mahu memastikan dirinya kembali dalam keadaan terbaik sebelum meneruskan aktiviti seni seperti biasa.
"Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk kembali dengan album baharu dan persembahan secepat mungkin supaya penantian ini tidak terlalu lama. Mohon tunggu saya sedikit lagi," tegasnya.
Walaupun perlu berehat seketika, keputusan IU itu mendapat sokongan peminat yang memahami bahawa kesihatan menjadi keutamaan, terutama apabila melibatkan kerjaya yang bergantung sepenuhnya kepada kemampuan vokal. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments