BERMULA sebagai karakter yang sering mencetuskan konflik, Rasyid akhirnya menjadi antara kejutan terbesar dalam Ikatan Terlarang. Perubahan penerimaan penonton terhadap watak itu membuktikan bahawa setiap karakter mempunyai sisi tersendiri yang mampu mengubah persepsi apabila kisahnya mula terungkai.
Itulah perjalanan karakter Rasyid lakonan Alif Hadi dalam drama Ikatan Terlarang yang kini memasuki minggu akhir siaran menerusi slot MegaDrama Astro.
Pada awal kemunculannya, Rasyid sering mencetuskan kemarahan penonton menerusi tindakannya yang dianggap menyusahkan keluarga Azura. Namun, semakin cerita berkembang, pandangan penonton terhadap karakter tersebut mula berubah.
Karakter yang pada mulanya dilihat sebagai punca masalah akhirnya menjadi watak yang mendapat simpati, malah pemergiannya dalam drama tersebut meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Bagi pelakon Alif Hadi, perubahan penerimaan penonton itu menjadi sesuatu yang tidak pernah dijangkakan sepanjang perjalanan drama tersebut.
"Apa yang paling best bila saya tengok perubahan penonton. Saya baca banyak komen di Threads. Ramai cakap mula-mula benci Rasyid sebab dia selalu timbulkan masalah dalam keluarga.
"Namun bila cerita berkembang, orang mula faham kenapa dia jadi macam itu. Ramai cakap sebenarnya Rasyidlah hero yang banyak selamatkan keluarga dan bantu Azura mendapatkan semula syarikat,” ujarnya.
Pelakon berusia 38 tahun itu turut terharu apabila penonton begitu teliti mengikuti perkembangan karakter Rasyid sehingga babak-babak kecil yang dilakonkan turut menjadi perbualan.
"Babak mata kena cucuk, kena tampar, semua itu orang perasan. Bila orang mula bercakap pasal karakter kita, itu satu kepuasan sebagai pelakon,” katanya.
Bagi Alif, kekuatan watak Rasyid terletak pada perjalanan emosinya yang kompleks. Karakter tersebut bukan sekadar seorang individu yang mencetuskan konflik, sebaliknya seorang lelaki yang berdepan pelbagai tekanan hidup termasuk kemurungan, kekecewaan terhadap keluarga, kegagalan dalam perniagaan serta cabaran menerima hakikat dirinya tidak mampu memiliki zuriat.
Jelasnya lagi, Rasyid sebenarnya bukan watak yang sepenuhnya jahat, sebaliknya seorang manusia yang bergelut dengan kesunyian dan keadaan mental yang tidak stabil.
“Dia bukan jahat, dia cuma sunyi dan mentalnya tak stabil. Lepas Azura mula bagi semangat, dia cuba berubah menjadi lebih baik, tetapi ujian tetap datang bertimpa-timpa,” katanya.
Di Sebalik Karakter Rasyid Yang Penuh Konflik
Sebagai pelakon yang membawa watak yang jauh berbeza daripada dirinya sendiri, Alif mengakui pengalaman menjayakan karakter tersebut memberi kesan besar terhadap dirinya.
Malah, hampir 80 peratus penggambaran dilakukan di dalam rumah bersama barisan pelakon lain menyebabkan hubungan mereka semakin rapat sehingga terasa seperti sebuah keluarga sebenar.
Walaupun perjalanan Rasyid berakhir dengan tragis dalam drama arahan Riza Baharudin itu, Alif mengakui karakter tersebut masih meninggalkan kesan yang mendalam.
"Sampai sekarang saya masih rasa macam ada lagi Rasyid dalam diri,” ujarnya.
Dalam masa sama, Alif melihat watak itu sebagai satu titik perubahan dalam perjalanan kerjayanya sebagai pelakon. Selepas lebih 15 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, dia merasakan karakter tersebut membuka peluang baharu apabila bakatnya mula lebih dihargai penonton.
"Ramai sebelum ini tak pernah tengok saya berlakon dalam platform atau slot drama yang besar. Bila orang mula nampak bakat dan menghargai usaha saya, rasa penat lebih 15 tahun itu macam terbalas.
"Saya tidak perlukan apa-apa balasan, cukup orang hargai kerja saya. Alhamdulillah sekarang tawaran pun semakin banyak,” ujarnya penuh syukur.
Selain Alif Hadi, drama ini turut menampilkan Erysha Emyra sebagai Azura, Hisyam Hamid sebagai Lukman, Mawar Rashid sebagai Bella, serta barisan pelakon seperti Raja Azura dan Arash Mohamad.
Drama Ikatan Terlarang yang mempunyai 28 episod merupakan terbitan iFAME (iFabulous Art, Media & Event) dan disiarkan menerusi Astro Ria (Saluran 104) setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.
Untuk mengetahui kesudahan perjalanan Ikatan Terlarang, penonton boleh mengikuti episod akhir menerusi aplikasi Astro GO atau Sooka. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments