“Nantilah” Bukan Jawapan, NIVEA Seru Wanita Utamakan Pemeriksaan Payudara

NIVEA dan Watsons Malaysia menyumbang RM80,000 kepada BCWA menerusi NIVEA Moments of CARE 2026 | FOTO: Nivea Malaysia

KESIBUKAN sering meletakkan kesihatan sendiri di senarai paling bawah. Pemeriksaan hari ini ditangguhkan ke minggu depan, dengan harapan masih ada masa selepas tanggungjawab lain selesai.

Namun, menangguhkan pemeriksaan boleh menyebabkan perubahan pada tubuh terlepas pandang, sedangkan pengesanan awal memainkan peranan penting dalam menghadapi pelbagai penyakit, termasuk kanser payudara.

Mesej itu menjadi fokus NIVEA Moments of CARE 2026, yang memasuki tahun ketiga menerusi kerjasama NIVEA, Watsons Malaysia dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA).

Kempen ini bukan sahaja menggalakkan orang ramai mengambil langkah menjaga kesihatan payudara, malah membuka peluang untuk menyokong usaha pendidikan dan kebajikan melalui dua inisiatif.

Menerusi imbasan kod QR di cawangan Watsons, orang ramai boleh mendapatkan maklumat tentang pemeriksaan payudara sendiri, dengan RM1 disalurkan kepada BCWA bagi setiap imbasan. Sumbangan RM1 turut diberikan bagi setiap RM20 pembelian produk NIVEA sepanjang kempen.

Kedua-dua inisiatif itu menyumbang kepada kutipan RM80,000 untuk BCWA tahun ini, menjadikan jumlah sumbangan NIVEA Moments of CARE sejak 2024 sebanyak RM200,000.

Pengurus Negara Beiersdorf Malaysia dan Singapura, Dr Christopher Vierhaus, melihat pendidikan sebagai cara mendorong tindakan awal sambil meneruskan sokongan kepada BCWA.

Pengalaman penyanyi dan jurulatih vokal profesional Adzrin Adzhar memperlihatkan mengapa perubahan pada tubuh tidak wajar dipandang ringan. Kansernya kembali aktif dan merebak pada 2025, selepas beliau pada mulanya menganggap pening yang dialami sebagai perkara biasa.

“Saya berasa pening selama beberapa hari dan menganggapnya perkara biasa. Selepas menjalani pemeriksaan, barulah saya mengetahui kanser itu telah merebak.

“Jika ada sesuatu yang terasa berbeza, jangan abaikan atau takut untuk mendapatkan pemeriksaan. Pemeriksaan berkala membantu kita lebih peka terhadap kesihatan dan bertindak lebih awal,” pesannya.

Jangan Tunggu Hingga Terlambat

Penyanyi veteran Salamiah Hassan, yang kini bebas kanser, turut mengakui pernah menangguhkan pemeriksaan kerana tanggungjawab lain terasa lebih mendesak.

“Saya juga pernah berkata, ‘Nantilah saya buat pemeriksaan.’ Selalu ada perkara lain atau orang lain yang perlu diutamakan. Walaupun kini bebas kanser, saya tetap menjalani pemeriksaan berkala. Jangan tunggu sehingga hidup kurang sibuk untuk menjaga diri,” katanya.

Bagi Dr Kartini Kamalul Ariffin, pensyarah, bekas personaliti televisyen dan aktivis kesedaran kanser yang kini dalam remisi, pemeriksaan susulan masih menjadi sebahagian daripada kehidupan selepas diagnosis.

“Ada yang menganggap remisi menandakan perjalanan kanser sudah berakhir. Hakikatnya, pemeriksaan susulan masih menjadi sebahagian daripada hidup saya.

“Bagi saya, menjadi pejuang kanser bermakna meneruskan kehidupan dengan pemahaman yang lebih baik tentang kesihatan diri,” ujarnya.



Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 80 peratus kes kanser payudara berlaku dalam kalangan wanita tanpa faktor risiko khusus selain jantina dan usia. Ketiadaan sejarah keluarga yang mempunyai kanser payudara bukan alasan untuk mengabaikan pemeriksaan.

Pakar Perunding Bedah Payudara dan Endokrin, Dr Patricia Alison Gomez, mengingatkan wanita supaya mengenali keadaan normal tubuh masing-masing agar perubahan dapat dikesan lebih awal.

“Setiap wanita perlu mengenali keadaan normal tubuh mereka sendiri. Ketulan akibat kanser payudara selalunya tidak menyakitkan, jadi jangan tunggu sehingga timbul rasa sakit untuk bertindak.

“Jika terdapat sesuatu yang baharu atau berbeza, lakukan pemeriksaan. Semakin awal kanser payudara dikesan, semakin tinggi peluang untuk mendapatkan rawatan yang berjaya,” jelasnya.

Acara itu turut menampilkan persembahan Titanium oleh Adzrin, aktiviti ‘Breathe, Stretch & Recharge’, pemeriksaan klinikal payudara oleh BCWA, ‘Moments of CARE Wall’ dan sesi bersama pejuang kanser.

Mengenali perubahan pada tubuh, mendapatkan pemeriksaan apabila perlu dan meneruskan pemantauan kesihatan ialah langkah penting yang tidak seharusnya ditangguhkan hanya kerana kesibukan harian. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments