Dengan Sekali Lafaz, Cinta Bella Astillah & Syed Saddiq Disatukan

Hanya dengan sekali lafaz, Syed Saddiq sah bergelar suami kepada Bella Astillah | FOTO: Astro

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi serta pelakon, Bella Astillah, 32, sah bergelar suami isteri dalam majlis ijab dan Kabul yang berlangsung di Presint Merdeka 118 pada pagi Sabtu.


Dengan sekali lafaz, Syed Saddiq, 34, menyempurnakan akad nikah yang dikendalikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan berwalikan bapa Bella, Awang Astillah Abdullah @ Dullah. 

Kedua-dua mempelai tampil anggun dalam busana rekaan Zaimi Zulkafli, menyerlahkan penampilan elegan mereka pada hari bersejarah itu. Suasana majlis turut diserikan dengan konsep Islamic Arabic berwarna putih, memberikan sentuhan klasik dan harmoni kepada upacara pernikahan pasangan berkenaan.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin berjumlah RM500, beserta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan daripada pengantin perempuan.

Antara hantaran daripada Syed Saddiq kepada Bella ialah KWSP i-simpan, perlindungan insurans, biasiswa pengajian sarjana dan lain-lain. Sementara Bella atau nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah membalasnya dengan Senaskah al-Quran dan sejadah, buku elektronik (E-book), emas hantaran Triatlon, tiket pertandingan larian ULTRAMAN Australia 2027 dan lain-lain.

Momen indah dan bermakna yang termeterai di aras 118 bangunan mercu tanda ikonik negara itu menghimpunkan kira-kira 255 tetamu, termasuk kenamaan, rakan selebriti serta ahli keluarga yang hadir meraikan penyatuan pasangan tersebut.

Antara tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Datuk Seri Dr. Wan Azizah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Utama Mukhriz Tun Dr. Mahathir, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, Khairy Jamaluddin, Hannah Yeoh dan ramai lagi.

Disiarkan Secara Langsung

Detik pernikahan pasangan itu turut disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform Astro, membolehkan penonton di seluruh negara mengikuti momen istimewa berkenaan.

Perjalanan menuju hari bahagia mereka juga bakal dipaparkan menerusi program khas Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq, yang bersiaran setiap Selasa, jam 11 malam di Astro Ria (Saluran 104). Program itu turut boleh distrim menerusi Astro GO dan Sooka.



Antara momen-momen menarik di majlis ijab dan kabul Syed Saddiq dan Bella Astillah yang berlangsung di Presint Merdeka 118 hari ini | FOTO: Astro

Pasangan berkenaan merancang beberapa majlis resepsi untuk meraikan perkahwinan mereka bersama keluarga, sahabat dan para jemputan. Antaranya ialah resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 18 Oktober ini.

Sambutan kemudian diteruskan menerusi majlis resepsi bertemakan Kenduri Rakyat yang akan diadakan di Muar, Johor, pada 25 Oktober ini, sebelum diteruskan di Kota Kinabalu, Sabah, pada 31 Oktober ini.

Syed Saddiq dan Bella mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

Sebelum ini, Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, pada September 2016. Mereka bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum kembali rujuk, namun perkahwinan itu berakhir dengan perceraian kali kedua pada Mac 2024. Hasil perkahwinan terdahulu, Bella dikurniakan dua cahaya mata, Ayden, 9, dan Ara, 6.  - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments