MHLife 2026 Bawa Cita Rasa, Budaya Dan Gaya Hidup Mesra Muslim


MAKANAN, fesyen, budaya, warisan dan pengalaman pelancongan bakal menjadi sebahagian daripada tarikan Malaysia Halal Lifestyle Festival (MHLife) 2026 yang berlangsung di Shah Alam, Oktober depan.

Berlangsung selama tiga hari, festival ini mengetengahkan kepelbagaian gaya hidup mesra Muslim menerusi cita rasa dan jenama tempatan, aktiviti kebudayaan serta pengalaman yang dekat dengan identiti Malaysia.

MHLife 2026 merupakan sebahagian daripada Islamic Tourism Month (ITM) 2026 anjuran Islamic Tourism Centre (ITC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang bertanggungjawab membangunkan segmen pelancongan Islam di Malaysia.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Chua Choon Hwa berkata, Malaysia menerima 9.7 juta pelancong Muslim pada 2025, iaitu jumlah tertinggi pernah direkodkan, dan angka itu dijangka meningkat kepada 15 juta menjelang 2030.

Perkembangan tersebut dilihat membuka lebih banyak peluang kepada industri pelancongan, komuniti tempatan dan ekonomi negara, khususnya menerusi pertumbuhan pasaran mesra Muslim.

Ketika Visit Malaysia 2026 sedang berlangsung dan Sukan SEA 2027 bakal menyusul, festival ini menjadi antara platform yang mengetengahkan kekuatan Malaysia sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman mesra Muslim.

Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal Abu Suaib Khan pula melihat konsep pelancongan mesra Muslim sebagai pengalaman yang merangkumi lebih daripada satu produk atau perkhidmatan.

Pendekatan itu meliputi keseluruhan pengalaman pelancong ketika berada di sesuatu destinasi, daripada makanan dan penginapan hingga lokasi yang dilawati, barangan yang dibeli, pengalaman baharu serta interaksi dengan masyarakat setempat.

Selari dengan konsep itu, MHLife 2026 membawa tema Rasa, Gaya, Warisan menerusi konsep Taste Malaysia, Wear Malaysia, Experience Malaysia yang mengetengahkan cita rasa, kreativiti dan tradisi tempatan.

Festival ini akan berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober 2026 di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam dengan kemasukan percuma.

Pengunjung boleh meneroka 16 pavilion yang mewakili 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, selain menikmati pilihan makanan dan minuman, jenama tempatan, persembahan kebudayaan serta aktiviti interaktif sepanjang festival.

Antara tarikan yang turut dijadualkan ialah Harmony Night Concert, menampilkan barisan penghibur tempatan menerusi persembahan yang menggabungkan elemen kontemporari dan tradisional.


Wakil ITC bersama rakan strategik MHLife 2026 pada majlis pengumuman festival yang bakal berlangsung di Shah Alam, Oktober depan

Pada majlis sama, ITC turut mengumumkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama Malaysian Association of Hotels (MAH). Kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengiktirafan serta nilai pasaran Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR), selain menyediakan latihan dan menjalankan inisiatif promosi serta penglibatan industri secara bersama.

Selain pelancongan, program yang ditawarkan merangkumi kecantikan dan kesejahteraan, kraftangan, aktiviti keluarga, beli-belah, pertandingan serta hiburan secara langsung.

Manfaat Untuk Perniagaan Tempatan

Manfaat penyertaan dalam MHLife 2026 tidak terhenti selepas festival berakhir. Semua vendor yang mengambil bahagian akan disenaraikan secara automatik dalam Direktori Pelancongan Mesra Muslim rasmi ITC, membolehkan perniagaan mereka terus ditemui oleh pengguna dan pelancong.

Direktori berkenaan turut menyediakan pilihan produk, perkhidmatan dan pengalaman mesra Muslim yang boleh diterokai di seluruh Malaysia.

Permohonan penyertaan kini dibuka kepada perniagaan dalam kategori makanan dan minuman, fesyen sopan, kecantikan dan kesejahteraan, kraftangan, pelancongan mesra Muslim serta produk gaya hidup dan kategori berkaitan. Pendaftaran boleh dibuat menerusi laman rasmi MHLife.  - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments