PERKARA paling dekat dengan kehidupan seharian sering menjadi sesuatu yang mudah terlepas daripada pandangan.
Lorong belakang, kedai lama, penjaja di gerai sama atau seorang bapa yang meluangkan masa bersama anak kelihatan biasa, tetapi semuanya menyimpan cerita tentang tempat, manusia dan hubungan yang membentuk kehidupan.
Itulah yang cuba dirakam pelukis kelahiran Pulau Pinang, Lee Eng Beng, menerusi Hari Hari – A Way Of Life, pameran solo pertamanya di AweGallery, Taman Paramount, Petaling Jaya.
Berusia 59 tahun, Lee mengangkat pemerhatiannya terhadap kehidupan sekeliling ke dalam karya yang dekat dengan memori, budaya serta pengalaman peribadinya.
‘Hari Hari’ yang bermaksud ‘setiap hari’ mengambil inspirasi daripada kehidupan sekeliling Lee. Rumah kedai lama, jalan kejiranan, lorong belakang, gerai tepi jalan dan sudut-sudut Pulau Pinang yang sering dilalui diterjemahkan ke dalam karya-karyanya.
Berbanding mercu tanda popular, Lee lebih tertarik kepada suasana kehidupan yang sederhana. Tukang yang meneruskan kemahiran tradisional, pekerja yang singgah di gerai makan selepas tamat tugasan serta perniagaan kejiranan menjadi sebahagian daripada dunia visualnya.
Bagi mereka, rutin tersebut mungkin sekadar kehidupan biasa. Namun, melalui karya Lee, pekerjaan, tempat dan kebiasaan itu menjadi sebahagian daripada identiti Pulau Pinang yang wajar dihargai. Ketika bandar terus berubah, lukisannya turut menyimpan gambaran tentang cara hidup yang mungkin suatu hari nanti kelihatan berbeza.
Sisi Peribadi Lee Eng Beng
Daripada suasana bandar, perhatian Lee kemudian bergerak kepada pengalaman sebagai seorang bapa. Karya berkaitan 'fatherhood' menampilkan hubungan antara bapa dan anak melalui detik kebersamaan, tanggungjawab, perlindungan serta kasih sayang.
Lee tidak memerlukan aksi besar untuk menggambarkan hubungan tersebut. Sebaliknya, makna ditemui melalui perkara mudah seperti meluangkan masa, berada di sisi anak dan menyaksikan mereka membesar.
Pendekatan ini memperlihatkan sisi seorang bapa yang bukan sekadar sebagai penyedia atau pelindung, tetapi turut hadir melalui kelembutan dan hubungan emosi.
Menurut Lee, gabungan karya tentang kehidupan di Pulau Pinang dan pengalaman sebagai seorang bapa memberi makna yang lebih peribadi kepada pameran solo pertamanya itu.
“Saya berharap audiens dapat menemukan makna dalam perkara yang sering terlepas daripada perhatian kita. Gambaran Pulau Pinang dalam karya ini bukan sekadar lukisan jalan dan bangunan. Ia menyimpan memori, rasa dekat dan identiti sesebuah tempat.
"Apa yang menjadikan pameran ini lebih bermakna ialah apabila karya-karya tersebut dipersembahkan bersama lukisan saya tentang fatherhood.
"Terdapat kekuatan dan kelembutan yang berbeza dalam cara saya menggambarkan hubungan antara seorang bapa dengan anak-anaknya. Kesemuanya membolehkan kita memahami bukan sahaja apa yang saya lukis, tetapi juga perkara yang penting bagi saya,” jelasnya.
Lebih tiga dekad dalam dunia seni, Lee mula mempamerkan karya di peringkat antarabangsa pada 1991 menerusi pameran berkumpulan di Korea.
Pelukis ini turut menerima beberapa pengiktirafan, termasuk First Prize dalam Teochew Association Malaysian Watercolour Competition dari 1989 hingga 1991 serta Bao Hong Excellence Award daripada Malaysian Watercolour Society pada 2025.
Kini, Hari Hari menjadi satu lagi bab dalam perjalanan seni Lee, mempertemukan pengalaman tentang tempat yang dianggap rumah dengan hubungan yang paling dekat di hati.
Pameran ini akhirnya membawa satu renungan sederhana bahawa budaya, memori dan hubungan manusia turut terbentuk melalui perkara yang dilakukan dan dihargai setiap hari.
Hari Hari – A Way Of Life berlangsung dari 1 hingga 14 Oktober 2026, jam 10.30 pagi hingga 8.30 malam di AweGallery, Taman Paramount, Petaling Jaya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments