SENI yang lahir daripada pengalaman dan akar budaya tidak semestinya terhenti di tempat ia bermula. Sesekali, ia perlu dibawa lebih jauh untuk bertemu mata, telinga dan perspektif yang berbeza.
Begitulah perjalanan yang sedang dilalui penyanyi lagu puisi, Umar Uzair, apabila karya yang selama ini menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya menemukan khalayak di pentas antarabangsa.
Lebih daripada sekadar persembahan, pengalaman ini menjadi ruang buat Umar memperkenalkan sisi seni Malaysia yang dekat dengan bahasa, muzik dan warisan keNusantaraan.
London menjadi persinggahan pertama menerusi Malaysia Carnival 2026 yang berlangsung di Tun Abdul Razak Research Centre, Brickendonbury pada 5 September lalu. Acara anjuran Kedutaan Malaysia London bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (London) itu sudah lebih sedekad menjadi acara tahunan yang menghimpunkan masyarakat Malaysia dan komuniti tempatan di United Kingdom.
Kehadiran penerima Pujangga Negara 2026 itu memberi warna tersendiri pada acara berkenaan apabila menghidupkan pentas menerusi persembahan syair berirama Siti Zubaidah, Laksamana Raja Di Laut, Keroncong Untuk Ana dan Nyanyian Serambi yang disambut ribuan penonton Malaysia serta tempatan.
Dari Tun Abdul Razak Research Centre, Umar turut mengisi acara khas Malaysian Reception di Hyatt Regency London - The Churchill. Di hadapan Duta Malaysia di London, Datuk Indera Dr. Azfar Mohamad Mustafar, serta para kenamaan dan aristokrat antarabangsa, anak seni ini mempersembahkan rangkaian lagu puisinya, Cenderawasih dan Hasrat Sang Enggang.
Dari London Ke Istanbul
Rentak persembahan yang bermula di London turut dibawa ke Istanbul menerusi acara Hari Malaysia 2026 yang dikelolakan Konsulat Malaysia di Istanbul bersama Tourism Malaysia Istanbul.
Acara yang berlangsung pada 23 September di Four Seasons Istanbul by Bosphorus itu sekali lagi mempertemukan karya seni Malaysia dengan khalayak antarabangsa menerusi persembahan Fatwa Pujangga, Hasrat Sang Enggang dan Kau Pergi Tanpa Pesan.
Pengalaman di kedua-dua kota itu menjadi antara detik bermakna buat Umar, khususnya apabila karya seni Malaysia dapat dikongsi bersama tetamu daripada pelbagai negara dan latar belakang.
"Saya berasa amat berbahagia diundang ke acara istimewa di London untuk pertama kali dan untuk kali kedua ke Istanbul, mengadakan persembahan bukan sahaja untuk tetamu kehormat dari pelbagai negara, bahkan dengan kehadiran pelbagai bangsa dan latar belakang.
"Ini sekali gus mempromosikan seni berbahasa dan muzik Malaysia dan keNusantaraan. Ini merupakan penghargaan yang tinggi kepada saya dan Malaysia sebagai sebuah negara dihormati di peringkat antarabangsa," ujarnya.
ARTIKEL LAIN:
0 Comments