| Choi Min-sik dan Han So-hee membawa chemistry tersendiri sebagai Gi-ho dan Seon-woo |
MENGADAPTASI sebuah naskhah yang sudah dikenali ramai bukan tugas mudah, apatah lagi apabila versi terdahulunya mempunyai tempat tersendiri dalam ingatan penonton.
Cabaran itu turut dirasai The Intern (2026) apabila filem ini membawa semula premis daripada karya arahan Nancy Meyers pada 2015 ke Korea Selatan, dengan latar, watak dan dinamika hubungan yang disesuaikan mengikut konteks semasa.
Perubahan paling ketara dapat dilihat menerusi Kim Gi-ho (Choi Min-sik), seorang pesara dengan pengalaman kerja selama 37 tahun yang kembali ke alam pekerjaan sebagai ‘silver intern’ di syarikat fesyen Woo22.
Di situ, dia bekerja di bawah Lee Seon-woo (Han So-hee), CEO muda yang sedang berdepan tekanan menguruskan syarikat dan kehidupan peribadinya.
Pertemuan dua generasi berbeza ini pada awalnya dipenuhi suasana kekok apabila Gi-ho cuba menyesuaikan diri dengan budaya kerja yang lebih moden, manakala Seon-woo pula perlu belajar berhadapan dengan pekerja yang jauh lebih berusia daripadanya.
Dari sinilah dinamika mereka mula berkembang, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai situasi lucu dan pertembungan cara fikir antara generasi.
Daripada situ, The Intern mula menemukan kekuatannya menerusi perbezaan generasi tersebut. Konflik antara cara lama dan baharu tidak hanya digunakan sebagai bahan cerita, tetapi turut menghasilkan komedi yang menghiburkan.
Banyak babak lucu hadir secara natural melalui interaksi harian di pejabat, tanpa terlalu bergantung kepada jenaka yang dipaksa. Perkara kecil seperti cara berkomunikasi, penggunaan teknologi dan usaha Gi-ho menyesuaikan diri dengan budaya kerja generasi muda menjadi antara momen yang mencuit hati.
Pada masa sama, hubungan antara generasi itu terasa cukup relatable. Filem ini tidak menggambarkan satu pihak sentiasa betul dan satu pihak lagi ketinggalan zaman. Sebaliknya, kedua-duanya perlu belajar menyesuaikan diri.
Gi-ho membawa pengalaman dan ketenangan yang lahir daripada puluhan tahun bekerja, manakala golongan muda di sekelilingnya lebih pantas menghadapi teknologi dan perubahan dunia pekerjaan.
Pertembungan cara fikir inilah yang menjadikan hubungan mereka menarik untuk diikuti, terutama apabila perbezaan usia mula membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk saling memahami dan belajar daripada pengalaman masing-masing.
Keserasian Dua Generasi
Kekuatan utama The Intern tetap terletak pada dua pelakon utamanya. Choi Min-sik memberi persembahan yang bersahaja sebagai Gi-ho, dengan lakonan yang cukup terkawal dan tidak berlebihan. Ada kehangatan pada lakonannya, tetapi sisi lucu yang bersahaja turut membuatkan watak ini tidak terasa seperti karakter ‘orang tua bijak’ yang terlalu sempurna.
Han So-hee pula memberikan lapisan yang lebih manusiawi kepada Seon-woo. Di sebalik imej CEO muda yang tegas dan yakin, terselit rasa tertekan, kesunyian serta keraguan terhadap keputusan yang perlu dibuat.
Keserasian antara kedua-duanya terasa mudah dan tidak dipaksa, menjadikan hubungan Gi-ho dan Seon-woo antara elemen paling menarik sepanjang cerita.
Kim Do-young selaku pengarah pula memastikan cerita bergerak dalam rentak yang lancar, terutama ketika filem beralih daripada rutin di pejabat kepada masalah yang dihadapi Seon-woo. Peralihan tersebut terasa natural tanpa mengubah keseluruhan nada cerita secara mendadak.
Elemen budaya tempatan juga digunakan dengan baik untuk membezakan versi Korea ini daripada karya asal, termasuk budaya senioriti di tempat kerja serta perubahan teknologi yang berlaku sepanjang lebih sedekad. AI, media sosial dan jurang digital antara generasi turut menjadi sebahagian daripada dunia kerja yang cuba difahami oleh Gi-ho.
Namun, pendekatan yang ringan itu juga menjadi kekurangan apabila cerita mula bergerak ke bahagian konflik yang lebih serius. Jalan ceritanya agak mudah dijangka dan beberapa bahagian terasa seperti bergerak dari satu situasi kepada situasi lain tanpa perkembangan yang cukup mendalam.
Skripnya juga tidak sentiasa memberikan ruang yang sepatutnya kepada watak utama untuk berkembang, menyebabkan beberapa konflik terasa terlalu mudah diselesaikan.
Perbandingan dengan filem 2015 juga sukar dielakkan. The Intern versi Korea masih mengekalkan banyak asas cerita yang membuatkan naskhah ini disukai, tetapi kesan emosinya tidak begitu mendalam berbanding versi terdahulu.
Adaptasi ini lebih selesa bergerak dalam nada ringan, menyebabkan beberapa bahagian yang sepatutnya memberi kesan lebih mendalam terasa sedikit sederhana.
Namun begitu, perubahan pada budaya kerja, penggunaan teknologi dan pengakhiran versi Korea memberikan identiti tersendiri kepada adaptasi ini. Elemen-elemen tersebut membantu membezakan filem ini daripada karya asal, walaupun teras ceritanya masih dikekalkan.
Secara keseluruhan, The Intern bukan sebuah 'remake' yang sempurna, namun kekuatannya tetap terserlah menerusi hubungan antara watak yang menjadi nadi kepada keseluruhan cerita. Jika penonton mencari komedi-drama yang ringan, relatable dan tidak terlalu berat, filem ini masih mempunyai cukup alasan untuk diberi peluang. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
THE INTERN
Bahasa: Korea
Klasifikasi: 13
Genre: Komedi/Drama
Durasi: 2 Jam 13 Minit
Pengarah: Kim Do-Young
Pelakon: Choi Min-Sik, Han So-Hee, Kim Keum-Soon, Kim Jun-Han
Edaran: Warner Bros. Pictures
Tarikh Tayangan: 1 Oktober 2026
Bintang: 7/10
[KREDIT FOTO: Warner Bros. Pictures]
0 Comments