TRAUMA, rahsia keluarga dan kesetiaan menjadi taruhan dalam Bisikan Nafsu, sebuah naskhah yang memilih untuk mengangkat sisi gelap hubungan kekeluargaan menerusi kisah seorang wanita muda yang cuba meneruskan hidup selepas berdepan pengalaman yang mengubah dirinya.
Namun, filem arahan Riza Baharudin ini tidak bergerak dalam satu nada sahaja. Di sebalik kisah berat dan emosi yang sarat, terselit pula sentuhan dramatik serta 'humor' yang kadangkala hadir pada saat tidak dijangka, termasuk gaya penceritaan yang mengingatkan kepada elemen filem Tamil.
Percampuran nada inilah yang menjadikan pengalaman menonton Bisikan Nafsu agak berbeza. Ada ketika 'mood' sesuatu babak sepatutnya sangat sedih atau tegang, tetapi gaya penyampaian tertentu boleh membuatkan penonton tersenyum atau tergelak kecil.
Bagi sesetengah penonton, perubahan sebegini mungkin terasa janggal, terutama apabila unsur 'humor' atau gaya dramatik muncul ketika emosi sesuatu babak sedang memuncak. Namun, pendekatan itu sememangnya disengajakan oleh pihak produksi untuk memberikan lebih warna kepada perjalanan cerita dan mengelakkan keseluruhan naskhah terasa terlalu berat.
Hasilnya, filem ini mempunyai turun naik emosi yang agak berbeza, daripada konflik keluarga dan situasi menyayat hati kepada momen yang lebih dramatik serta menghiburkan.
Di tengah-tengah cerita ialah Nadia lakonan Azeva, seorang wanita yang kehidupannya berubah selepas menjadi mangsa bapa tirinya sendiri, Ustaz Romantik (Zul Huzaimy), sebelum kesan tragedi itu turut menggugat hubungannya dengan tunang, Arisz (Aniq Suhair).
Daripada titik inilah Bisikan Nafsu mula menguji bukan sahaja kekuatan seorang mangsa untuk berdepan dengan apa yang berlaku, tetapi juga sejauh mana cinta dan kesetiaan mampu bertahan apabila kepercayaan sudah berubah menjadi persoalan.
Dari sudut penceritaan, premis naskhah ini mempunyai daya tarikan tersendiri kerana filem ini tidak berhenti pada perbuatan jenayah semata-mata. Cerita turut melihat kesan psikologi terhadap mangsa serta individu yang berada paling hampir dengannya.
Tema kesetiaan menjadi antara tunjang utama apabila Arisz memilih untuk terus berada di sisi Nadia walaupun tidak memahami sepenuhnya perubahan tunangnya itu.
Hubungan mereka memberikan naskhah ini satu lagi lapisan emosi, selain membuka persoalan tentang cara seseorang membantu insan tersayang yang sedang bergelut dengan kesan pengalaman pahit.
Gabungan drama keluarga, percintaan dan elemen psikologi menjadikan konflik mudah diikuti, manakala misteri mengenai perubahan Nadia memberikan sebab untuk penonton terus mengikuti perkembangan cerita.
Bagaimanapun, pendekatan yang sarat dengan mesej turut menjadi pedang bermata dua. Sesetengah bahagian terasa terlalu jelas dalam menyampaikan apa yang mahu dikatakan, sehingga ruang untuk penonton membuat tafsiran sendiri menjadi sedikit sempit.
Beberapa konflik pula terasa terlalu dekat dengan formula melodrama televisyen, sekali gus membuatkan impaknya tidak sekuat premis yang dibawa.
Azeva Hidupkan Nadia, Aleza Curi Perhatian
Azeva memikul tanggungjawab terbesar menerusi watak Nadia dan, sebagai pelakon baharu, persembahannya boleh dikatakan tidak mengecewakan untuk karakter yang menuntut spektrum emosi yang agak luas.
Daripada seorang wanita muda yang menjalani kehidupan biasa kepada individu yang berdepan dengan pengalaman traumatik dan perubahan emosi, Azeva diberikan cukup ruang untuk menunjukkan kemampuannya.
Ada beberapa bahagian yang masih memperlihatkan sisi seorang pelakon yang sedang mencari rentak, khususnya apabila adegan memerlukan penghayatan yang sangat berat.
Namun, kekurangan kecil itu tidak menenggelamkan keseluruhan persembahannya. Malah, beberapa babak menunjukkan Azeva mempunyai potensi untuk berkembang sekiranya terus diberikan watak yang lebih mencabar selepas ini.
Aniq Suhair pula membawa Arisz dengan pendekatan yang lebih tenang. Wataknya menjadi sisi berlawanan kepada kekalutan Nadia, iaitu seseorang yang cuba memahami sebelum membuat keputusan. Keserasian antara kedua-duanya membantu menghidupkan bahagian romantik filem, walaupun perkembangan hubungan mereka kadangkala terasa terlalu bergantung kepada formula melodrama.
Jika ada satu persembahan yang mudah mencuri perhatian, Aleza Shadan sebagai ibu tiri antara yang paling menonjol. Karakternya memberi impak yang kuat setiap kali muncul dan Aleza berjaya memberikan lapisan emosi yang membuatkan watak tersebut terasa lebih daripada sekadar karakter sampingan.
| Penggerak utama dan barisan pelakon di Malam Gala Bisikan Nafsu yang berlangsung di TGV Suria KLCC | FOTO: Key Billion |
Keputusan itu dapat dilihat menerusi beberapa babak fizikal yang mencabar, termasuk adegan di kawasan air terjun dan babak menyelam yang memerlukan komitmen tinggi daripada pelakon serta kru.
Dari sudut teknikal, Bisikan Nafsu lebih sesuai dinilai sebagai drama yang mengutamakan cerita dan lakonan berbanding karya yang mahu mempamerkan visual spektakular. Sinematografi berfungsi menyokong suasana serta emosi, sementara lokasi dan babak fizikal digunakan untuk membantu menggerakkan cerita.
Skrip A. Aida pula mempunyai asas cerita yang kuat dan isu yang jelas untuk disampaikan. Kekuatan utamanya terletak pada konflik yang mudah difahami serta hubungan antara watak yang menjadi penggerak utama cerita. Namun, kekurangannya ialah kecenderungan menjelaskan emosi dan mesej secara terus, selain beberapa perkembangan yang terasa terlalu melodramatik.
Campuran drama, romantik, konflik keluarga dan sedikit unsur humor akhirnya membentuk identiti tersendiri buat naskhah ini dengan setiap elemen hadir mengikut rentak penceritaannya.
Secara keseluruhan, Bisikan Nafsu mempunyai kekuatan pada premis serta keberaniannya mengangkat isu sensitif yang dekat dengan realiti masyarakat. Walaupun pendekatan penceritaannya tidak sentiasa sekata, naskhah ini tetap berjaya menyampaikan persoalan tentang trauma, kepercayaan dan kesetiaan dengan caranya tersendiri.
Persoalannya, apabila pengalaman pahit mengubah seseorang, sejauh mana cinta, keluarga dan orang di sekeliling mampu memahami perubahan tersebut? Jom tonton Bisikan Nafsu di pawagam berdekatan mulai 1 Oktober 2026. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- [REVIEW] Practical Magic: The Book of Magic — Mampukah Magis Keluarga Owens Kembali Memikat?
- [REVIEW] Mutiny – Aksi Padu, Tetapi Cerita Terlalu Biasa?
- [REVIEW] Insidious: Out of the Further – Menakutkan Atau Sekadar Ulang Formula Lama?
BISIKAN NAFSU
Bahasa: Melayu
Klasifikasi: 13
Genre: Drama
Pengarah: Riza Baharudin
Pelakon: Azeva Natassha, Aniq Suhair, Zul Huzaimy, Aleza Shadan, Raja Azmi
Edaran: Key Billions
Tarikh Tayangan: Tarikh Tayangan: 1 Oktober 2026
Bintang: 6/10
[KREDIT FOTO: Hello Production Sdn Bhd]
VERITY
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: 18
Genre: Thriller
Durasi: 1 Jam 50 Minit
Pengarah: Michael Showalter
Pelakon: Dakota Johnson, Anne Hathaway, Josh Hartnett, Ismael Cruz Córdova
Edaran: Sony Pictures Entertainment
Tarikh Tayangan: 1 Oktober 2026
THE INTERN
Bahasa: Korea
Klasifikasi: 13
Genre: Komedi/Drama
Durasi: 2 Jam 13 Minit
Pengarah: Kim Do-Young
Pelakon: Choi Min-Sik, Han So-Hee, Kim Keum-Soon, Kim Jun-Han
Edaran: Warner Bros. Pictures
Tarikh Tayangan: 1 Oktober 2026
MUNAFIK MELAWAN IBLIS
Bahasa: Indonesia
Klasifikasi: 16
Genre: Seram
Durasi: 1 Jam 45 Minit
Pengarah: Guntur Soeharjanto
Pelakon: Arya Saloka, Acha Septriasa, Dimas Aditya
Edaran: Astro Shaw
Tarikh Tayangan: 1 Oktober 2026
0 Comments