Hael Husaini & Mimi Fly Satukan Dua Karakter Muzik Dalam ‘Garah’


PERBEZAAN karakter justeru boleh menjadi perkara paling menarik dalam sebuah kolaborasi. Apabila dua sisi muzik diberi ruang untuk bergerak bersama, hasilnya mampu membuka dimensi baharu dalam sebuah karya.

Hael Husaini dan Mimi Fly menemukan titik temu tersebut menerusi Garah, karya kolaborasi pertama mereka yang diterbitkan Rocketfuel Entertainment. Lagu ini turut menampilkan komposer Iqie Hugh dan membawa gabungan pop Nusantara, pop-rock serta hip-hop dalam susunan yang lebih bertenaga serta dramatik, namun masih mengekalkan rasa tempatan.

Menariknya, judulnya sendiri membawa maksud senda gurau atau lawak jenaka menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Namun di sebalik nama yang kedengaran ringan, liriknya menyentuh tentang pencarian hati dan sesuatu yang sukar ditemukan.

Ungkapan “Cintersembunyi, di dalam dada” misalnya menggambarkan perasaan yang dekat tetapi masih belum terungkap. Persoalan tentang ke mana harus membawa hati pula memberikan sisi resah kepada cerita yang dibawa menerusi lagu tersebut.

Bagi Hael, peluang menghasilkan lagu bersama Mimi sememangnya sudah lama dinantikan. Dia melihat karya ini mempunyai identiti tersendiri menerusi gabungan beberapa elemen muzik, selain lirik yang menyimpan lapisan cerita lebih mendalam.

“Saya anggap kolaborasi dengan Mimi memang sesuatu yang sudah lama ditunggu kerana ini julung-julung kali kami bergabung dalam sebuah lagu.

"Garah mempunyai warna tersendiri dan kami mahu hasilkan sesuatu yang segar, tetapi pada masa yang sama masih mempunyai rasa tempatan. Gabungan pop, rock dan hip-hop memberikan lagu ini tenaga yang berbeza, manakala liriknya pula mempunyai sisi yang lebih mendalam.

“Saya harap pendengar dapat menikmati lagu ini bukan sahaja melalui muzik, tetapi juga cerita yang cuba kami sampaikan,” ujarnya.

Pertemuan Dua Karakter

Buat Mimi pula, proses menghasilkan karya ini memberi ruang untuk dua pendekatan muzik yang berbeza bertemu.

“Saya sangat teruja kerana sekian kalinya dapat bekerjasama dengan Hael dalam sebuah lagu. Kami datang dengan karakter dan juga cara kerja yang berbeza, jadi proses penghasilan Garah memang menyeronokkan.

“Saya juga turut terlibat dalam penciptaan lagu ini dan kami cuba mencari keseimbangan antara elemen moden dengan bunyi yang dekat dengan identiti kita. Saya rasa pendengar akan dapat merasakan sesuatu yang berbeza apabila mendengar lagu ini,” katanya.

Jika liriknya bermain dengan persoalan hati, video muzik pula membawa kisah tersebut ke suasana yang jauh lebih misteri. Berlatarbelakangkan Hauntu Malaysia @ The Linc KL, Hael digambarkan tiba di sebuah hotel lama sebelum berdepan gangguan aneh dan lembaga misteri.

Usahanya mencari jalan keluar membawa kepada penemuan sebuah buku daftar tetamu lama yang menyimpan petunjuk tentang misteri hotel tersebut, termasuk satu penemuan mengejutkan di halaman terakhir.


Ketua Rocketfuel Entertainment, Mathan Rajasingam melihat pertemuan dua artis dengan karakter tersendiri ini sebagai peluang untuk meneroka sisi kreatif yang berbeza. Pendekatan tersebut bukan hanya diterapkan dalam muzik, malah turut diterjemahkan melalui dunia visual yang dibina untuk video muzik berkenaan.

Daripada bunyi yang bertenaga hingga visual penuh misteri, karya ini memperlihatkan bagaimana dua karakter muzik berbeza boleh bertemu tanpa kehilangan identiti masing-masing.

Garah dilancarkan di semua platform penstriman digital pada 25 September lalu, manakala video muzik rasminya kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Rocketfuel Entertainment. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments