TUJUH tahun selepas mencetuskan fenomena luar biasa di pawagam seluruh dunia, Avengers: Endgame membuktikan kisahnya masih belum kehilangan magis. Kepulangan filem ikonik ini ke layar besar bukan sekadar memberi peluang kepada peminat mengimbau kembali penutup Infinity Saga, malah membuka satu lagi bab baharu apabila pencapaiannya di Malaysia berjaya mengembalikan filem tersebut ke kedudukan teratas
box office sepanjang zaman negara ini.
Selepas ditayangkan semula menerusi
Avengers: Endgame Encore pada 24 September lalu, filem arahan Marvel Studios itu merekodkan kutipan RM90,116,517 setakat 30 September, sekali gus mengambil semula rekod
box office Malaysia sepanjang zaman.
Pencapaian tersebut hadir ketika
Avengers: Endgame turut mencatat kebangkitan besar di peringkat global. Tayangan semulanya membuka tirai di No. 1 seluruh dunia dengan anggaran kutipan US$86 juta pada hujung minggu pertama, menjadikannya debut global kedua tertinggi bagi sebuah filem yang ditayangkan semula.
Jumlah kutipan global terkumpulnya kini mencecah US$2.885 bilion, sekali gus meletakkan filem itu di tempat kedua dalam senarai kutipan box office tertinggi sepanjang zaman.
Pencapaian tersebut mengulangi sedikit sebanyak sejarah yang tercipta ketika filem berkenaan pertama kali ditayangkan pada 2019. Ketika itu,
Avengers: Endgame membuka tayangan dengan kutipan US$1.2 bilion di seluruh dunia pada hujung minggu pertama, selain menjadi filem pertama dalam sejarah yang melepasi angka US$1 bilion untuk pembukaan global.
Kembali ke pawagam pada 2026,
Avengers: Endgame Encore menawarkan pengalaman untuk peminat menghayati semula penutup epik Infinity Saga di layar besar, kali ini bersama rakaman bonus eksklusif yang turut memberi petunjuk ke arah bab seterusnya dalam perjalanan Avengers,
Avengers: Doomsday.
Dari Endgame ke Doomsday
Menanti peminat pada 17 Disember 2026 ialah
Avengers: Doomsday, yang akan ditayangkan secara eksklusif di pawagam dengan sebuah pengembaraan baharu yang lebih besar dalam Marvel Cinematic Universe.
Filem ini turut menerima pensijilan Infinity Vision, memberi peluang kepada penonton Malaysia menikmati pengalaman premium menerusi skrin lebih besar, sistem bunyi imersif serta projektor laser berintensiti tinggi yang direka untuk menyerlahkan aksi dan visual filem.
Sebanyak 115 skrin Infinity Vision di seluruh Malaysia akan menyediakan pengalaman tersebut, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada peminat untuk menyaksikan
Avengers: Doomsday dalam format premium.
Jualan tiket awal pula dibuka oleh GSC, TGV Cinemas, Mega Cineplex, FST Cinemas dan 10Star pada 1 Oktober lalu.
Bagi peminat yang mahu meraikan perjalanan daripada
Avengers: Endgame ke
Avengers: Doomsday, terdapat satu lagi koleksi eksklusif yang menanti. Mereka yang memiliki tiket
Avengers: Endgame Encore dan membeli tiket
Avengers: Doomsday dalam format Infinity Vision sepanjang tempoh jualan awal layak menerima set poster berkembar eksklusif.
Set tersebut mengandungi satu poster mendatar
Avengers: Endgame Encore dan satu poster eksklusif D23
Avengers: Doomsday.
Semangat
Avengers: Doomsday turut dibawa keluar dari pawagam menerusi GSC Popcorn Run 2026 yang berlangsung pada 6 Disember di Mitsui Outlet Park KLIA Sepang, dengan pilihan 5km Fun Run, 10km dan 21km untuk peserta yang mahukan cabaran lebih kompetitif.
Peserta juga bakal menerima race pack eksklusif bernilai lebih RM400 yang merangkumi jersi larian, pingat penamat, tuala, dua tiket filem 2D, beg serut dan beberapa barangan lain.
Selepas membuktikan bahawa tarikan Avengers masih kuat dalam kalangan penonton Malaysia,
Avengers: Endgame Encore kini menjadi pembuka jalan kepada satu lagi perjalanan besar.
Sementara penonton masih boleh kembali menikmati kisah yang menutup Infinity Saga itu di pawagam,
Avengers: Doomsday pula bakal membawa mereka ke bab seterusnya pada 17 Disember 2026.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments