FIFA ASEAN Cup 2026: RTM Bawa 5 Aksi Pilihan Secara Langsung


BAHANG saingan FIFA ASEAN Cup 2026 mula terasa apabila Harimau Malaya bersiap menghadapi tiga aksi peringkat kumpulan menentang Bangladesh, Indonesia dan Singapura.

Buat peminat bola sepak tempatan yang mahu mengikuti perjalanan skuad negara, aksi berkenaan boleh disaksikan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

RTM menerusi kerjasama strategik bersama YTL Corporation Berhad akan membawakan siaran langsung perlawanan terpilih FIFA ASEAN Cup 2026, sekali gus membuka peluang kepada penonton di seluruh negara untuk mengikuti aksi kejohanan yang berlangsung dari 24 September hingga 5 Oktober ini.

Bagi kempen Harimau Malaya, Malaysia berada dalam Kumpulan A Divisyen 1 bersama Indonesia, Singapura dan Bangladesh. Tiga perlawanan peringkat kumpulan itu akan menjadi antara aksi yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Sukan RTM dan platform RTMKlik.

Aksi pertama Malaysia berlangsung pada 25 September menentang Bangladesh, sebelum skuad negara bertemu Indonesia pada 28 September. Kempen peringkat kumpulan kemudian ditutup dengan perlawanan menentang Singapura pada 1 Oktober.

Lima Perlawanan Tumpuan

● 25 September 2026 (5 Petang) - Bangladesh lwn Malaysia
● 28 September 2026 (8.30 Malam) - Indonesia lwn Malaysia 
● 1 Oktober 2026 (8.30 Malam) - Malaysia lwn Singapura
● 5 Oktober 2026 (5 Petang) - Penentuan tempat ketiga
● 5 Oktober 2026 (9 Malam) - Perlawanan akhir

Untuk dua aksi pada 5 Oktober, penyertaan Malaysia bergantung kepada kedudukan skuad negara selepas peringkat kumpulan. Dalam format Divisyen 1, juara setiap kumpulan akan mara ke final, manakala dua naib juara akan berentap dalam penentuan tempat ketiga.

Bagi penonton di Malaysia, siaran langsung ini memberi ruang untuk terus mengikuti perkembangan Harimau Malaya tanpa perlu ketinggalan aksi penting sepanjang kejohanan.

RTM turut menyediakan akses menerusi Saluran Sukan RTM dan RTMKlik, dengan siaran bagi perlawanan melibatkan skuad kebangsaan ditawarkan secara percuma.

FIFA ASEAN Cup 2026 merupakan edisi sulung kejohanan yang menghimpunkan 14 pasukan dalam dua divisyen, termasuk kesemua 11 negara ASEAN serta tiga pasukan jemputan. Divisyen 1 berlangsung di Indonesia, manakala Divisyen 2 diadakan di Hong Kong, China.

Jadi, buat penyokong Harimau Malaya, bolehlah tandakan tarikh-tarikh berkenaan dan luangkan masa untuk bersama-sama mengikuti aksi skuad negara sepanjang saingan FIFA ASEAN Cup 2026.  - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments