| Sabronzo, Angel dan Tabby mahu lawan segala persepsi yang cuba menentukan siapa mereka. |
KRITIKAN, salah faham dan pandangan negatif orang lain bukan perkara asing dalam perjalanan seni Dolla. Namun, daripada membiarkan pengalaman tersebut menjadi beban, Sabronzo, Tabby dan Angel memilih untuk menghadapinya dengan cara mereka sendiri iaitu dengan menjadikan rasa kecewa sebagai tenaga untuk bersuara.
Hasilnya ialah Ugly, sebuah karya yang hadir dengan sikap lebih berani dan tidak mahu berkompromi. Lagu ini mengangkat persoalan tentang bagaimana seseorang melihat dirinya sendiri apabila terlalu banyak suara dari luar cuba menentukan siapa diri mereka.
Bagi Dolla, ia bukan sekadar lagu tentang melawan, tetapi turut membawa mesej mengenai keberanian untuk menetapkan batas, menerima diri sendiri dan mengambil kembali kawalan terhadap cerita yang mahu dibawa.
“Jika kami perlu menggambarkan Ugly dalam satu perkataan, ia adalah ‘tanpa kompromi’. Lagu ini adalah tentang menerima dan berdiri teguh dengan siapa diri kita, tanpa membenarkan orang lain menentukan identiti kita,” ujarnya.
Perasaan itu bukan sesuatu yang asing bagi setiap anggota kumpulan. Pengalaman dihakimi dan disalahertikan dalam cara berbeza membuatkan mesej lagu ini terasa lebih dekat, seolah-olah mereka akhirnya mempunyai ruang untuk mengubah pengalaman tersebut menjadi sesuatu yang lebih kuat.
“Kami terus dapat menghayati lagu ini kerana mesejnya terasa begitu peribadi. Ada satu kepuasan apabila kami dapat mengambil segala perasaan itu dan mengubahnya menjadi kekuatan menerusi Ugly.
“Lagu ini mempunyai tenaga yang penuh penentangan, tetapi pada dasarnya, ia adalah tentang keberanian untuk menentukan naratif kita sendiri,” tegas Dolla.
Bayang-Bayang Menjadi Cermin
Semangat melawan yang dibawa Ugly tidak berhenti pada muziknya. Video muzik karya tersebut menggunakan bahasa visual yang berbeza untuk memperlihatkan bagaimana sesuatu yang dilihat tidak semestinya menggambarkan keseluruhan cerita.
Wayang Kulit dipilih sebagai inspirasi utama, mengangkat seni persembahan bayang-bayang tradisional Malaysia ke dalam dunia visual Dolla. Permainan cahaya, bayang-bayang, pergerakan dan penceritaan kemudiannya membentuk gambaran tentang perbezaan antara persepsi dengan kebenaran.
Idea itu terasa cukup dekat dengan mesej lagu kerana bayang-bayang sendiri hanya memberikan sebahagian daripada gambaran. Penonton mungkin membina tanggapan terhadap sesuatu watak berdasarkan bentuk yang terlihat, sedangkan cerita sebenar berada di sebalik apa yang dipaparkan.
“Kita melihat bayang-bayang lalu membentuk tanggapan tentang watak tersebut tanpa pernah melihat gambaran yang sepenuhnya. Kami merasakan konsep itu sangat serasi dengan Ugly kerana manusia sering melakukan perkara yang sama terhadap satu sama lain.
“Lagu ini seolah-olah menjadi peringatan daripada kami bahawa persepsi tidak semestinya mencerminkan kebenaran.
“Sikap berani yang dibawa oleh lagu ini amat jelas menerusi bahagian hook yang mudah melekat di ingatan, “You better go run, you better go hide,” jelasnya lagi.
Menariknya, dunia visual tersebut tidak sepenuhnya terbentuk ketika kamera mula merakam. Sebahagian besar elemen yang memberikan intensiti kepada video muzik itu dihasilkan pada peringkat pascaproduksi, membuatkan Dolla perlu membayangkan terlebih dahulu rupa dan tenaga dunia yang akhirnya mahu mereka tampilkan.
Cabaran itu turut dirasai ketika penggambaran berlangsung di sebuah rumah tradisional Melayu yang hampir sepenuhnya gelap. Keadaan tersebut bukan sahaja memberikan suasana misteri, malah menjadikan pengalaman mereka di set berbeza daripada penggambaran biasa.
“Oleh sebab sebahagian besar dunia dalam video ini dihasilkan ketika pascaproduksi, kami perlu membayangkan banyak elemen dan tenaganya semasa membuat persembahan.
“Penggambaran di dalam sebuah rumah tradisional Melayu yang hampir gelap sepenuhnya turut memberikan suasana misteri kepada set tersebut. Melihat bagaimana kesemuanya berubah dalam hasil akhir video muzik itu benar-benar mengujakan,” katanya.
Pada akhirnya, Dolla mahu Ugly menjadi lagu yang boleh dimainkan ketika seseorang sudah sampai ke tahap tidak mahu lagi terlalu memikirkan penilaian orang lain.
Tenaga yang dibawa karya ini mungkin kedengaran lantang, tetapi mesej di sebaliknya cukup mudah, kenali diri sendiri dan jangan serahkan kuasa itu kepada orang lain.
“Dengarkan lagu ini apabila anda berada dalam suasana ‘baiklah, sudah cukup’. Mainkan lagu ini, ikut rentak anda sendiri dan jangan risau tentang apa yang orang lain mahu katakan,” akhirinya.
Ugly meneruskan fasa baharu Dolla selepas G.O.A.T, dengan kumpulan itu memilih untuk bergerak ke hadapan sambil menerima segala kekacauan dan perkara tidak dijangka yang datang bersama perjalanan tersebut.
Pada masa sama, mereka turut melihat lebih jauh ke luar Malaysia dengan rancangan untuk memberikan tumpuan lebih besar kepada persembahan antarabangsa dan mendekati khalayak di pentas global.
Single Ugly kini sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman utama. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments