FESYEN, kreativiti dan semangat komuniti bertemu dalam satu pentas apabila Adiwarna Runway buat julung kalinya berlangsung di Alamanda Shopping Centre, Putrajaya.
Bersempena Hari Malaysia, acara selama empat hari itu bukan sekadar menampilkan koleksi tempatan, malah membuka peluang pengunjung melihat dan membeli hasil karya pereka secara lebih dekat.
Acara anjuran Alamanda bersama Malaysian Official Designers’ Association (MODA) itu menggabungkan pertunjukan fesyen, hiburan dan pengalaman beli-belah dalam satu acara yang meraikan kreativiti anak Malaysia.
Pembukaan Adiwarna Runway menyatukan 22 pereka yang mempersembahkan rekaan ikonik menggunakan tekstil eksklusif bercetak khas, diinspirasikan rona bunga raya.
Kehadiran wakil Tourism Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia turut mengangkat usaha mengetengahkan bakat kreatif tempatan kepada pengunjung serantau dan antarabangsa, selari dengan agenda Visit Malaysia 2026.
Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan, penganjuran ini menjadi sebahagian usaha Alamanda bergerak melangkaui fungsi runcit tradisional selepas pembangunan semula pusat beli-belah berkenaan.
“Adiwarna Runway merupakan satu pencapaian penting dalam usaha kami untuk mentransformasikan Alamanda Shopping Centre sebagai destinasi gaya hidup dan komuniti utama di Putrajaya.
"Selepas pembangunan semula secara menyeluruh, kami komited untuk bergerak melangkaui transaksi runcit tradisional dengan menjadikan ruang kami sebagai platform budaya yang dinamik.
"Membawakan acara bertaraf nasional secara langsung ke Putrajaya memberikan pengalaman yang menarik dan bermakna kepada para pelanggan serta komuniti, di samping membuka peluang komersial yang lebih luas kepada pereka fesyen terbaik negara," ujarnya.
Pentas Fesyen, Bakat Baharu dan Komuniti
Sepanjang acara, 16 pereka MODA menampilkan koleksi ready-to-wear kontemporari, modern modest wear dan busana tempahan khas, termasuk Justin Yap Atelier, Yuleza, NANALYANA, EL by Ellie Lim, Zayana Yazed Creations, Outdwell, CARRO, HERA, Bill Keith, CASALWA, SITI KHADIJAH, Ariff Atelier, 3THELABEL, Arlina Ayou, Yani Bakhtiar dan Variante.
Kepelbagaian pendekatan turut terserlah menerusi koleksi mereka, daripada warisan masyarakat India Malaysia dan nilai batik, kepada modest wear serta rekaan yang dekat dengan kehidupan harian.
Siti Khadijah misalnya membawa telekung, pakaian wanita dan koleksi Teman lelaki ke pentas, memperlihatkan sisi jenama yang lebih luas menerusi fesyen.
Adiwarna Runway Bazaar yang memasuki edisi kedua pula memberi peluang pengunjung membeli ready-to-wear dan aksesori artisan secara terus daripada pereka.
MODA melihat bazar ini sebagai penghubung antara pengguna dengan jenama tempatan, selepas edisi pertama bertemakan ‘Style Your Way’.
Semangat komuniti turut diserlahkan menerusi Family Fashion Show yang menampilkan 10 pasangan pembeli-belah terpilih untuk bergaya di pentas dalam pilihan fesyen daripada Variante, Arlina Ayou, HERA, CASALWA dan NANALYANA, selepas pencarian model dijalankan di seluruh pusat beli-belah pada Ogos.
Bagi pengasas dan Pengarah Kreatif Variante, Leslie Variyan, pengalaman tersebut bukan sekadar mengenai pentas peragaan, sebaliknya menjadi ruang untuk meraikan hubungan antara pereka dan komuniti.
“Adiwarna Runway merupakan pengalaman yang amat bermakna bagi saya, baik sebagai pereka mahupun sebagai ahli MODA. Sungguh menyentuh hati melihat sokongan padu dan semangat kekitaan sesama pereka, dan amat membanggakan apabila pembeli-belah dapat melihat sendiri pakaian itu hidup di atas pentas,” ujarnya.
Pada masa sama, pelajar fesyen dari UiTM, INTI, Sunway, Raffles, UNITAR, UCSI, MUSPACE, La Mode, International Sewing School dan SSFS Studio turut diberi pentas menerusi pertunjukan bakat baharu untuk memperkenalkan koleksi mereka.
Kemeriahan acara itu turut diserikan dengan persembahan Datuk Syafinaz Selamat, Ernie Zakri, Daniel Chuer, Yazmin Aziz, Bunga Isme, Daniesh Suffian, Layla Sania dan Farah Dolhadi.
Edisi sulung ini akhirnya memperlihatkan bagaimana fesyen tempatan boleh didekatkan kepada khalayak menerusi gabungan pentas peragaan, pengalaman membeli-belah dan penglibatan komuniti. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments