FESYEN bukan sekadar tentang pakaian yang dipertontonkan di pentas peragaan. Di sebalik setiap rekaan, ada idea, kemahiran, kolaborasi dan ruang untuk bakat baharu berkembang.
Semangat itulah yang diteruskan Malaysia Official Designers Association (MODA) menerusi Next Wave, bab kedua festival Fashion in Motion yang berlangsung sepanjang Oktober.
Selepas melancarkan festival itu pada 1 Oktober lalu menerusi Chapter Next di Pavilion Damansara Heights, MODA memberi tumpuan kepada bakat baharu dalam dunia fesyen Malaysia menerusi Next Wave di Pavilion Bukit Jalil. Acara ini dianjurkan bersama Pavilion dan merangkumi pertunjukan fesyen, pertandingan pereka muda, inisiatif komuniti, lifestyle market serta acara kemuncak.
Chapter Next menampilkan 29 pereka MODA yang diberi cabaran menggabungkan denim, material harian yang tahan lasak, dengan seni halus Songket. Pertemuan dua elemen berbeza itu menghasilkan rekaan yang lebih eksperimental, membuktikan warisan dan pendekatan moden boleh bergerak seiring dalam fesyen tempatan.
Bagi MODA, Next Wave membawa makna tersendiri kerana idea asalnya tercetus daripada acara Elevation tahun lalu, ketika bakat muda berpeluang mempersembahkan karya di pentas yang sama.
Presiden MODA, Cyrus Chin, melihat potensi besar yang ada dalam kalangan mereka, lalu membuka peluang lebih luas tahun ini menerusi proses pemilihan dari seluruh negara sebelum calon disenarai pendek kepada Top 30 dan seterusnya Top 20.
Setiap finalis kemudian digandingkan dengan mentor MODA seperti Ariff Shukor, Ellie Lim, Fairuz Ramdan, Jimmy Wong dan Justin Yap untuk mengembangkan idea mereka sebelum dipersembahkan.
Kolaborasi Merentas Kreativiti
Kolaborasi Next Wave turut melangkaui rekaan pakaian apabila fesyen digabungkan dengan seni penggayaan rambut. Top 10 finalis pereka muda dipasangkan dengan Top 10 finalis dandanan rambut, dengan setiap pasangan menghasilkan satu penampilan lengkap yang menggabungkan fesyen, gaya rambut dan penceritaan visual.
Pertandingan ini dinilai menerusi dua panel, iaitu barisan profesional industri bersama ahli MODA untuk kategori fesyen, serta panel khas yang menilai aspek seni rambut.
Ganjaran untuk pemenang turut disesuaikan mengikut bidang masing-masing. Pelajar fesyen menerima hadiah wang tunai, peluang menjalani latihan industri dan keahlian MODA, manakala pendandan rambut pula menerima produk profesional serta pengiktirafan daripada R Beauté.
![]() |
| Chapter Next yang berlangsung pada 1 Oktober di Pavilion Damansara Heights mempertemukan sisi kontemporari denim dengan kehalusan seni dan warisan songket tradisional | FOTO: MODA |
Raikan Fesyen dan Budaya Sepanjang Oktober
Selepas Next Wave, festival ini diteruskan dengan Unstoppable Pink pada 10 Oktober bagi menyokong Pink Unity di bawah National Cancer Society Malaysia, termasuk acara berjalan kaki dari Pavilion Damansara Heights ke Pavilion Kuala Lumpur serta Charity Hair Cut bersama R Beauté.
Sepanjang Oktober juga, Maria Nila, salah satu jenama di bawah R Beauté, turut menyediakan payung merah jambu khas di tiga lokasi Pavilion sebagai sebahagian daripada inisiatif kutipan sumbangan, dengan sebahagian hasilnya disalurkan kepada Pink Unity Foundation.
Reimagined Saree Runway pula berlangsung pada 22 Oktober di Pavilion Kuala Lumpur sempena Deepavali, dengan penyertaan 25 pereka termasuk lima bakat muda.
Dari 23 hingga 25 Oktober, Style Your Way Lifestyle Market di Pavilion Bukit Jalil menghimpunkan lebih 50 booth fesyen, makanan dan muzik.
Festival ini kemudian ditutup menerusi Finale Party di The Arena, Pavilion Damansara Heights, yang menghimpunkan pereka, rakan kerjasama, penggiat kreatif dan komuniti yang menjayakan Fashion in Motion.
Keseluruhan rangkaian acara ini berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur, Pavilion Damansara Heights dan Pavilion Bukit Jalil sekali gus memberi ruang kepada orang ramai untuk mengenali fesyen, budaya dan bakat kreatif tempatan dengan lebih dekat. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
%20-%20(1).jpg)
%20-%20(3).jpg)
%20-%20(2).jpg)
0 Comments