[REVIEW] Practical Magic: The Book of Magic — Mampukah Magis Keluarga Owens Kembali Memikat?

Keserasian Sandra Bullock dan Nicole Kidman sebagai Sally dan Gillian Owens tidak perlu diragukan

BUKAN mudah untuk menghidupkan semula sebuah kisah yang sudah begitu sebati dengan nostalgia penonton. Lebih-lebih lagi apabila kisah tersebut begitu dekat dengan penonton menerusi chemistry antara watak, humor serta elemen 'sisterhood' yang menjadikan Practical Magic sebuah cult favourite.

Hampir tiga dekad kemudian, Practical Magic: The Book of Magic cuba menyambung warisan itu dengan membawa Sally dan Gillian Owens kembali ke layar lebar, kali ini bersama generasi baharu keluarga mereka.

Namun, semakin lama sesebuah filem berada dalam ingatan penonton, semakin tinggi jangkaan apabila ia kembali. Di sinilah sekuel arahan Susanne Bier mula berdepan cabaran, antara memberikan sesuatu yang baharu dan pada masa sama mengekalkan elemen yang membuatkan filem asal itu terus dikenang.

Persoalannya, adakah The Book of Magic benar-benar berjaya mencipta semula pesona tersebut, atau sekadar menghidupkan nostalgia yang sudah lama tersimpan? Jawapannya tidak semudah ya atau tidak.

The Book of Magic mempunyai cukup banyak elemen yang mengingatkan penonton mengapa dunia keluarga Owens begitu menarik sejak awal, tetapi pada masa sama, filem ini mengambil jalan yang agak selamat dalam usaha mengembangkan ceritanya.

Kali ini, perhatian turut diberikan kepada generasi baharu keluarga Owens menerusi Kylie (Joey King) dan Antonia (Maisie Williams). Kylie, anak Sally, mula mengetahui rahsia dan warisan magis keluarganya yang selama ini cuba disembunyikan daripadanya. Hubungan dengan teman lelakinya, Gideon (Xolo Maridueña), turut mengheret Kylie ke dalam sejarah sumpahan yang sudah lama dikaitkan dengan keluarga Owens.

Daripada situ, cerita berkembang kepada usaha Sally, Gillian dan generasi baharu Owens untuk mematahkan sumpahan tersebut. Idea asasnya sebenarnya menarik kerana konflik tidak lagi hanya berkisar pada dua beradik yang sudah dikenali penonton, sebaliknya memperlihatkan bagaimana warisan keluarga boleh mempengaruhi generasi seterusnya.

Bagaimanapun, di sinilah kelemahan utama filem mula terasa. Dengan durasi sekitar 130 minit, perkembangan cerita kadangkala bergerak terlalu perlahan sebelum kembali kepada konflik utama. Beberapa perkara juga mudah dijangka, menyebabkan kejutan yang sepatutnya memberi impak tidak sentiasa sampai seperti yang diharapkan.

Namun begitu, hubungan antara watak masih menjadi salah satu kekuatan terbesar filem ini. Sandra Bullock dan Nicole Kidman jelas tidak kehilangan chemistry sebagai Sally dan Gillian. Perbezaan karakter antara kedua-duanya masih menghasilkan humor dan dinamika yang menghidupkan beberapa babak, terutama ketika mereka kembali berdepan dengan masalah keluarga yang kali ini lebih besar.

Antara Nostalgia Dan Magis Baharu

Dari sudut pengarahan, Susanne Bier memilih pendekatan yang lebih moden dan kemas, tanpa terlalu bergantung kepada unsur fantasi berskala besar. Dunia Owens masih mempunyai suasana misteri dan sentuhan fantasi, tetapi The Book of Magic lebih banyak menggunakan elemen magis untuk menyokong perjalanan watak berbanding menjadikannya tontonan utama.

Sinematografi Simon Duggan turut membantu membentuk dunia tersebut menerusi visual yang lebih kontemporari, dengan pencahayaan dan komposisi yang mengekalkan sentuhan fantasi. Namun, visual filem ini tidak sentiasa mempunyai kehangatan dan identiti yang begitu kuat sehingga membuatkan penonton benar-benar tenggelam dalam dunia magisnya.

Begitu juga dengan CGI dan kesan visual. Ada beberapa babak yang berjaya menampilkan unsur supernatural dengan baik, tetapi secara keseluruhan, kesan tersebut lebih berfungsi sebagai pelengkap kepada cerita.

Ini bukan filem yang bergantung pada CGI untuk mencipta aksi besar, sebaliknya cuba menggunakan sihir sebagai sebahagian daripada konflik dan hubungan antara watak.



Walaupun begitu, naskhah ini masih mempunyai beberapa momen yang mengingatkan mengapa francais ini begitu digemari. Humor antara Sally dan Gillian, hubungan keluarga serta kehadiran pelakon asal memberikan filem ini nilai sentimental yang sukar dinafikan.

Pada akhirnya, Practical Magic: The Book of Magic masih menawarkan chemistry pelakon yang menyenangkan, tema keluarga yang mudah diikuti serta nostalgia yang menjadi kekuatan utamanya.

Namun, pendekatan yang agak selamat membuatkan sekuel ini lebih terasa seperti sebuah pertemuan semula dengan keluarga Owens berbanding sebuah cerita yang benar-benar berjaya mencipta magis baharu.

Bagi peminat yang sudah lama merindui keluarga Owens, sekuel ini tetap mempunyai beberapa momen yang mungkin membuatkan nostalgia itu terasa kembali. Cuma kali ini, sihirnya tidak sekuat yang diharapkan.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:


PRACTICAL MAGIC: THE BOOK OF MAGIC
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: 13
Genre: Fantasi/Romance
Durasi: 2 Jam 10 Minit
Pengarah: Susanne Bier
Pelakon: Sandra Bullock, Nicole Kidman, Joey King, Maisie Williams, Lee Pace, Stockard Channing, Dianne Wiest
Edaran: Warner Bros. Pictures
Tarikh Tayangan: 10 September 2026
Bintang: 5/10
[KREDIT FOTO: Warner Bros. Pictures]


HOPE
Bahasa: Inggeris/Korea
Klasifikasi: 18
Genre: Aksi/Drama
Durasi: 2 Jam 37 Minit
Pengarah: Na Hong-Jin
Pelakon: Hwang Jung-Min, Zo In-Sung, Alicia Vikander, Michael Fassbender, Taylor Russell
Edaran: GSC Movies
Tarikh Tayangan: 10 September 2026

DALAM SUJUDKU
Bahasa: Indonesia
Klasifikasi: 16
Genre: Drama
Durasi: 1 Jam 57 Minit
Pengarah: Rico Michael
Pelakon: Vinessa Inez, Marcell Darwin, Naura Hakim
Edaran: Horizon Film Entertainment
Tarikh Tayangan: 10 September 2026

DETECTIVE CONAN THE MOVIE: FALLEN ANGEL OF THE HIGHWAY
Bahasa: Jepun
Klasifikasi: 13
Genre: Anime
Durasi: 1 Jam 49 Minit
Pengarah: Takahiro Hasui
Pelakon Suara: Minami Takayama, Wakana Yamazaki, Rikiya Koyama, Miyuki Sawashiro, Akio Otsuka, Yukiko Sanpei
Edaran: GSC Movies
Tarikh Tayangan: 10 September 2026

Post a Comment

0 Comments