Dari Salah Faham Ke Bibit Cinta, Ji Chang Wook & Mio Imada Dalam ‘Merry Berry Love’


BAYANGKAN sebuah pulau kecil di Jepun, ladang strawberi yang menghijau dan dua insan daripada dunia yang langsung berbeza dipertemukan dalam satu situasi yang tidak pernah mereka jangka.

Itulah premis yang dibawa menerusi Merry Berry Love, siri romantik komedi rentas budaya yang menemukan bintang Korea Selatan, Ji Chang Wook, bersama pelakon Jepun, Mio Imada.

Menariknya, kisah cinta dalam siri ini bukan sekadar pertemuan antara dua hati, tetapi turut menjadi titik temu antara dua budaya menerusi sebuah produksi yang menggabungkan tenaga kreatif Korea Selatan dan Jepun.

Terbaharu, teaser dan poster Merry Berry Love telah ditampilkan menjelang tayangan globalnya di Disney+ pada 7 Oktober 2026. 

Naskhah ini mengisahkan Lee Yubin, watak yang dilakonkan Ji Chang Wook, seorang space planner dari Korea yang pernah menikmati kejayaan dalam kerjayanya sebelum segala-galanya runtuh dalam sekelip mata.

Dalam usaha untuk memulakan kehidupan baharu, Yubin meninggalkan Korea dan tiba di sebuah pulau di Jepun. Di situlah dia bertemu Karin Shirahama, seorang petani muda yang dilakonkan Mio Imada. Berbeza dengan Yubin yang sedang mencari arah baharu dalam hidup, Karin begitu tekun mengusahakan ladang strawberi miliknya dan memberikan sepenuh perhatian untuk menghasilkan buah yang terbaik.

Pertemuan pertama mereka bagaimanapun tidak berjalan seindah yang diharapkan. Selepas satu pertemuan yang serba tidak kena, satu salah faham tidak dijangka menyebabkan Yubin dan Karin terpaksa menghabiskan lebih banyak masa bersama. Daripada hubungan yang bermula dengan rasa kurang selesa, kedua-duanya perlahan-lahan mula mengenali satu sama lain, sekali gus membuka ruang kepada kisah cinta yang manis dan menghiburkan.

Konsep tersebut menjadi nadi kepada Merry Berry Love yang mengetengahkan pertembungan dua individu daripada latar budaya dan kehidupan berbeza sebelum hubungan mereka berkembang menjadi sebuah percintaan rentas sempadan.

Penggambaran dijalankan di Korea Selatan dan Jepun, selari dengan konsep rentas budaya yang menjadi teras ceritanya. Dari segi barisan kreatif, siri ini diarahkan oleh Kim Soo-jung, yang sebelum ini dikenali menerusi drama Semantic Error, dengan skrip ditulis Lee Jae-yoon, penulis The Divorce Insurance.

Di sebalik kisah romantiknya, siri ini turut mencuri perhatian kerana menjadi projek kerjasama pertama antara syarikat hiburan Korea Selatan, CJ ENM dan penyiar Jepun, Nippon TV. Merry Berry Love  dikembangkan dan diterbitkan oleh CJ ENM dengan Nippon TV sebagai penerbit bersama, manakala Disney+ menjadi platform penstriman globalnya.

Saksikan Merry Berry Love secara global menerusi Disney+ bermula 7 Oktober 2026, manakala penonton di Jepun turut boleh mengikuti siri ini menerusi Nippon TV pada tarikh yang sama. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments