![]() |
| Alpha bersama Alphanites yang memenuhi Zepp Kuala Lumpur di Konsert The First Wave | FOTO: Astro (Azrul Rafi) |
SETAHUN selepas tujuh anggota Alpha melangkah ke industri menerusi program nyanyian Big Stage, impian untuk memiliki pentas sendiri akhirnya menjadi kenyataan. The First Wave bukan sekadar konsert sulung kumpulan itu, sebaliknya menjadi ruang untuk Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky meraikan perjalanan mereka bersama Alphanites.
Berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Sabtu lalu dengan kehadiran ribuan peminat, malam tersebut dipenuhi persembahan, kejutan dan momen yang mengimbau perjalanan Alpha sejak diperkenalkan.
“Apa yang bermula sebagai sebuah pertandingan akhirnya berkembang menjadi satu fenomena, dan ‘The First Wave’ membuktikan bahawa kisah Alpha sebenarnya baru sahaja bermula,” kata Izat, mengimbau kembali detik pertama mengetahui mengenai konsert tersebut.
Salah satu kejutan buat Alphanites hadir menerusi pratonton eksklusif video muzik Burn It Down berdurasi 30 saat, sebuah lagu yang dirakam ketika kumpulan itu berada di Korea. Video muzik terbaharu Mahkota Cinta turut dipersembahkan buat pertama kali, memberi peluang kepada peminat menjadi antara yang terawal menyaksikan karya visual berkenaan.
Malam itu turut menampilkan persembahan khas P. Ramlee Saloma bersama Ray-D dan Arabella Ellen menerusi segmen tarian sebelum Alpha mengambil alih pentas dengan lagu yang menerima beberapa pencalonan di dalam dan luar Malaysia.
Dari Impian Kepada Pentas Sendiri
Sambutan terhadap The First Wave sudah terasa sebelum konsert bermula apabila tiket persembahan solo sulung Alpha habis terjual dalam tempoh satu jam setengah. Sokongan tersebut kemudiannya memenuhi Zepp Kuala Lumpur menerusi sorakan dan nyanyian bersama sepanjang malam.
Pada hari yang sama, Alpha turut mencipta satu lagi detik bermakna apabila membawa pulang dua kemenangan di Anugerah Industri Muzik (AIM) menerusi kategori Artis Baharu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik.
“Dalam masa setahun, banyak impian yang berjaya kami capai dan semuanya tidak mungkin berlaku tanpa Alphanites. Mereka bukan sekadar menyokong perjalanan kami, tetapi menjadi sebahagian daripada kisah Alpha itu sendiri,” kata Sky, anggota termuda kumpulan tersebut.
Hubungan itu turut diterjemahkan menerusi kad ucapan khas buat Alphanites, selain momen apabila para peminat menyanyi bersama dan memberikan sokongan sepanjang setiap persembahan.
Bagi melengkapkan malam istimewa itu, beberapa rakan artis turut berkongsi pentas bersama Alpha. Alumni Big Stage, Adam Nazmie, Yad-Z, Ranisha, Daniel Kifli dan Danny membuka tirai persembahan sebelum Hussain bergandingan dengan kumpulan ini menerusi Tiada Lagi, lagu asal Amy Search, selain mempersembahkan single solo terbaharunya, Takkan Pernah.
Nadeera pula mengejutkan peminat menerusi persembahan Zapin Usik Mengusik bersama Alpha sebelum menyampaikan single terbaharunya, Cuba Jadi Aku, yang juga menjadi runut bunyi drama Astro, Bulan Henti Bicara.
Salah satu impian Alpha turut menjadi kenyataan apabila Daiyan Trisha berkongsi pentas bersama mereka menerusi Haru Biru. Penyanyi dan pelakon itu mengakui teruja melihat perkembangan Alpha dan menyifatkan konsert tersebut sebagai detik penting dalam perjalanan kumpulan berkenaan.
Mengimbas kembali malam bersejarah itu, Ariel melihat The First Wave sebagai antara bab penting dalam kisah Alpha, namun pada masa sama percaya perjalanan mereka masih panjang.
“Kalau ada satu perkara yang kami nak Alphanites ingat daripada konsert ini, kami nak mereka tahu yang setiap apa yang berlaku atas pentas ini adalah hasil daripada perjalanan kami bersama mereka.
“Setahun mungkin nampak singkat, tapi untuk kami, terlalu banyak yang berlaku. Kami bermula sebagai tujuh orang yang mempunyai impian. Hari ini kami berdiri sebagai Alpha. Kami tahu, ini baru permulaan,” tambah Ariel, yang juga juara Big Stage Alpha.
Dengan pelbagai kejutan dan kolaborasi yang menghiasi malam tersebut, The First Wave akhirnya menjadi sebuah persembahan yang penuh warna, meninggalkan Zepp KL dengan kenangan yang tersendiri buat ALPHA dan peminat yang hadir. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
%20-%20(1).jpg)
%20-%20(3).jpg)
%20-%20(4).jpg)
0 Comments