| Ariana Grande tampil penuh tenaga di pentas London ketika persembahan terakhir Eternal Sunshine Tour yang sarat dengan momen istimewa | FOTO: Instagram Ariana Grande |
PERSEMBAHAN terakhir selalunya hadir dengan rasa yang berbeza. Selepas berbulan-bulan berada di atas pentas dan bertemu peminat di pelbagai lokasi, momen untuk mengakhiri sebuah jelajah pastinya membawa emosi tersendiri, apatah lagi apabila perjalanan itu dipenuhi begitu banyak memori.
Detik itu turut dirasai penyanyi pop antarabangsa, Ariana Grande, ketika menutup tirai Eternal Sunshine Tour di The O2, London pada 1 September 2026. Persembahan berkenaan menjadi konsert ke-41 dan terakhir bagi jelajah yang bermula di Oakland, California pada 6 Jun lalu.
Malam penutup itu juga melengkapkan 10 persembahan Ariana di London. Namun, di sebalik kemeriahan pentas terakhir, penyanyi berusia 33 tahun itu lebih banyak memberikan ruang untuk menghargai perjalanan yang dilaluinya bersama peminat.
Ketika menyampaikan ucapan, Ariana dilihat sebak sehingga sukar menahan air mata ketika mengenang pengalaman sepanjang jelajah berkenaan.
“Ini merupakan satu pengalaman yang sangat luar biasa. Terima kasih untuk 10 persembahan indah di London dan 41 persembahan Eternal Sunshine Tour yang begitu hebat.
“Ini merupakan antara pengalaman paling indah dan luar biasa dalam hidup saya dan saya cuma mahu meluahkan rasa terima kasih tanpa menitiskan air mata,” katanya.
Buat Ariana, sokongan peminat menjadi sebahagian besar daripada kenangan yang tercipta sepanjang perjalanan tersebut. Hubungan yang terjalin dari satu lokasi ke lokasi lain menjadikan setiap persembahan lebih daripada sekadar sebuah konsert.
“Terima kasih dari lubuk hati saya. Pengalaman ini sangat istimewa dan saya akan sentiasa menghargainya. Saya mempunyai peminat terbaik di seluruh dunia dan saya akan sentiasa berasa begitu. Terima kasih kerana sentiasa berada di sisi saya,” ujar penyanyi lagu Hate That I Made You Love Me itu lagi.
Kreativiti Peminat Jadi Kenangan
Selain sokongan yang diberikan ketika persembahan berlangsung, Ariana turut menghargai usaha peminat yang hadir dengan pelbagai penampilan, kostum, solekan serta mesej yang disediakan khusus untuk setiap persembahan.
Baginya, perkara-perkara kecil berkenaan turut memainkan peranan dalam menjadikan keseluruhan jelajah lebih bermakna.
“Saya sukakan pakaian anda, saya sukakan wajah anda, saya suka melihat anda semua dan berhubung dengan anda dengan cara ini. Terima kasih atas segala usaha untuk menjadikan pengalaman ini begitu istimewa.
“Semua mesej, kostum, pakaian dan solekan anda sangat cantik. Saya menikmati setiap minit bersama anda semua dan saya mahu memastikan anda tahu betapa bersyukurnya saya. Terima kasih dan saya sangat menyayangi anda semua,” katanya.
Ariana sebelum ini dilaporkan mahu memperlahankan seketika penglibatannya dalam kerjaya seni dan penampilan awam selepas menamatkan Eternal Sunshine Tour. Keputusan itu dibuat selepas beberapa tahun dipenuhi pelbagai komitmen profesional serta perhatian dan kritikan berterusan terhadap dirinya.
Penutup Eternal Sunshine Tour di London menjadi titik akhir sebelum Ariana mengambil sedikit ruang daripada kerja dan penampilan awam buat sementara waktu.
Daripada Oakland hingga London, perjalanan itu bukan sekadar meninggalkan deretan persembahan untuk dikenang, tetapi turut memperlihatkan hubungan Ariana dengan peminat yang terus menjadi antara bahagian paling bermakna dalam kerjayanya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments