Bold Camo: G-Shock Gabungkan Gaya Lasak dan Streetwear Dengan Sentuhan Emas

Duta G-Shock, Zizan Razak bersama koleksi Bold Camo | FOTO: G-Shock

DALAM dunia fesyen moden, corak camouflage tidak lagi terhad kepada gaya lasak, sebaliknya berkembang sebagai elemen streetwear yang mencerminkan karakter dan ekspresi diri.

Menggabungkan estetika urban bersama fungsi praktikal, motif ini terus menjadi pilihan bagi mereka yang menggemari penampilan berani dan unik.

Mengangkat inspirasi daripada budaya jalanan, Casio memperkenalkan koleksi terbaharu G-Shock Bold Camo yang menyatukan corak camouflage bernuansa matte bersama sentuhan rona emas. Gabungan ini memberikan nafas baharu kepada reka bentuk ikonik G-Shock, menampilkan keseimbangan antara ketahanan, gaya moden dan identiti urban.

Bold Camo turut menampilkan kemas kini pada rekaan logo serta penunjuk fungsi pada dial, memberikan penampilan lebih segar kepada beberapa model G-Shock yang dikenali dengan ciri lasak dan tahan hentakan.

Camouflage Ikonik Dengan Sentuhan Lebih Berani

Keistimewaan utama koleksi Bold Camo terletak pada corak camouflage khas G-Shock yang menyembunyikan elemen ikonik 'G-mark' dalam rekaannya.

Corak tersebut dihasilkan menerusi teknik pembuatan dan percetakan berteknologi tinggi bagi memberikan kemasan lebih eksklusif, manakala aksen emas menambah sentuhan kontras yang menyerlah.


Koleksi ini hadir menerusi enam model dengan karakter tersendiri. GM-6900CMG-3 menampilkan bezel keluli tahan karat dengan kemasan ion berwarna emas serta ukiran laser separa pada corak camouflage, digabungkan bersama tali urethane bercetak. Model ini menawarkan ciri ketahanan hentakan, ketahanan air sehingga 200 meter, lampu LED Super Illuminator dan jangka hayat bateri sehingga lima tahun.

Sementara itu, DW-6900CMG-3 membawa identiti klasik siri 6900 dengan kemas kini pada rekaan dial, corak camouflage eksklusif serta perincian emas yang memberikan penampilan lebih moden. Ia turut dilengkapi fungsi seperti jam randik, pemasa, penggera pelbagai fungsi dan ketahanan air sehingga 200 meter.

Model GA-700CMG-3A pula mengetengahkan reka bentuk lebih agresif menerusi cetakan camouflage pelbagai sudut pada bezel dan tali, selain kemasan rona emas berkilau pada dial. Ia hadir dengan fungsi World Time 48 bandar, lima penggera harian serta ciri Hand Shift.

Bagi peminat rekaan lebih besar dan menyerlah, GA-V01CMG-3A menawarkan bentuk organik dengan warna hijau bernuansa streetwear serta perincian emas yang lebih menonjol. Model ini turut dilengkapi lampu LED berganda, World Time 48 bandar dan jangka hayat bateri sehingga 10 tahun.

Melengkapkan koleksi ini ialah DW-6900CF-1 dan GA-700CF-1A yang mengetengahkan corak camouflage pada keseluruhan permukaan dial. Kedua-dua model ini dipadankan dengan aksen emas serta paparan LCD negatif untuk mengekalkan keseragaman warna dan gaya keseluruhan.

Selain mengekalkan ciri utama G-Shock seperti ketahanan hentakan dan ketahanan air sehingga 200 meter, kedua-dua model turut menawarkan fungsi jam randik, pemasa serta lampu LED Super Illuminator. GA-700CF-1A turut hadir dengan fungsi World Time 48 bandar dan lima penggera harian.

Menerusi koleksi Bold Camo, G-Shock terus menggabungkan elemen ketahanan legenda dengan estetika streetwear kontemporari. Ia membuktikan bahawa jam tangan lasak bukan sekadar peralatan praktikal, tetapi juga mampu menjadi pelengkap gaya peribadi.

Koleksi G-Shock Bold Camo kini boleh didapati di butik G-Shock serta pengedar sah di seluruh Malaysia. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments