Jam Digital Ikonik Casio Kini Jadi Cincin, Hasil Kolaborasi Bersama J Balvin


SIAPA sangka jam tangan digital yang cukup sinonim dengan Casio kini tampil dalam bentuk cincin? Itulah idea luar biasa yang dibawakan menerusi kolaborasi terbaharu jenama itu bersama penyanyi Latin terkenal, J Balvin, sekali gus memperlihatkan bagaimana rekaan klasik boleh diberikan nafas baharu dengan sentuhan lebih moden dan berani.

Dihasilkan sebagai edisi terhad, Casio x J Balvin CRW001JB-9 Ring Watch menggabungkan fungsi sebuah jam digital dengan gaya aksesori yang lebih versatil. Rekaan kompak ini bukan sahaja mengekalkan identiti ikonik Casio, malah menyerlahkan elemen fesyen dan ekspresi diri yang cukup sinonim dengan personaliti J Balvin.

Kolaborasi ini merupakan kerjasama kedua antara Casio dan penyanyi kelahiran Medellín, Colombia itu selepas kejayaan projek terdahulu, 'Ma G' pada 2025.

Dengan jualan melebihi 35 juta rekod di seluruh dunia, J Balvin dikenali sebagai antara artis reggaeton paling berpengaruh di peringkat antarabangsa, selain sering mencuri perhatian menerusi gaya fesyen dan pendekatan kreatif yang berani.

Baginya, kolaborasi kali ini membuka ruang untuk menghasilkan sesuatu yang lebih berani dan berbeza daripada sebelumnya.

"Casio sentiasa memahami visi saya apabila melibatkan kreativiti dan kebebasan untuk mengekspresikan diri. Kolaborasi pertama kami cukup bersifat peribadi dan penuh ekspresi.

"Kali ini, kami mahu melangkah lebih jauh dengan menghasilkan sesuatu yang tidak dijangka, tetapi mampu menjadi ikonik. Jam cincin ini menggabungkan muzik, fesyen dan budaya dalam cara yang benar-benar mencerminkan diri saya serta bagaimana saya mengekspresikan identiti," katanya.

Rekaan Eksklusif Dengan Identiti Tersendiri

Menyusuli kejayaan kolaborasi 'Ma G' pada 2025, model CRW001JB-9 terus menampilkan identiti kreatif yang dikongsi Casio dan J Balvin menerusi rekaan yang berani, inovatif dan tidak terikat dengan kebiasaan.


Jam cincin ini hadir dengan kemasan rona emas yang menyerlah, manakala permukaan jam dihiasi corak bata berwarna emas bagi menghasilkan tekstur yang lebih eksklusif. Sentuhan batu rhinestone pada bahagian atas dan bawah pula menambahkan kilauan elegan yang melengkapkan keseluruhan rekaannya.

Rekaan tersebut turut mencerminkan fasa kreatif terbaharu J Balvin bersama seorang lagi penyanyi Colombia yang semakin meningkat naik, Ryan Castro. Kerjasama mereka mengetengahkan nilai keanggunan, kesetiaan, persaudaraan dan kekeluargaan sebagai tema utama.

Walaupun tampil dalam saiz mini, CRW001JB-9 masih mengekalkan pelbagai fungsi yang menjadi kelebihan jam digital Casio. Antaranya termasuk paparan dua zon waktu, jam randik 1/100 saat, amaran kilat setiap jam (time flash), kalendar automatik, lampu latar Led serta pilihan paparan masa dalam format 12 atau 24 jam.

Casio x J Balvin CRW001JB-9 Ring Watch akan tersedia terlebih dahulu kepada pengguna berdaftar Casio-ID menerusi laman web rasmi bermula 7 Julai lalu, sebelum ditawarkan di butik Casio terpilih bermula pertengahan Julai, sementara stok masih ada. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments