BAYANGKAN sebuah malam yang membawa penonton menelusuri kisah kerajaan Melayu, pelayaran merentasi lautan, seni Silat dan Wayang Kulit, sebelum pengalaman itu diteruskan di meja makan menerusi sajian yang sarat dengan cita rasa tradisi.
Itulah pendekatan yang dibawa oleh Kayangan menerusi produksi sulungnya, Hikayat Nusantara, yang kini dipentaskan di Aneka Walk, SA Sentral, Shah Alam, sepanjang bulan September.
Menggabungkan seni persembahan dengan pengalaman kulinari, Kayangan cuba mendekatkan kembali kisah dan budaya Nusantara menerusi bentuk yang lebih kontemporari.
Diilhamkan daripada seni tradisional Wayang Kulit, Hikayat Nusantara membawa penonton menyusuri sejarah, legenda dan tradisi yang membentuk identiti rantau ini. Penceritaan tersebut diterjemahkan menerusi gabungan muzik, seni persembahan, Silat serta teknologi digital imersif.
Perjalanan persembahan turut mengimbau kebangkitan kerajaan-kerajaan Melayu, kisah pelayar legenda yang merentasi lautan silam, keindahan seni dan keberanian dalam Silat, selain mengetengahkan tradisi Wayang Kulit serta peranan Tok Dalang.
Keseluruhan pementasan kemudian bergerak daripada kisah masa lampau kepada kepelbagaian budaya Malaysia hari ini, menjadikan persembahan tersebut sebagai sebuah perjalanan merentas zaman dan generasi.
Elemen visual turut memainkan peranan penting dalam membentuk pengalaman berkenaan. Paparan LED, sistem bunyi keliling dan pencahayaan pentas digunakan bagi mewujudkan suasana yang lebih dekat serta imersif, sambil mempertemukan estetika penceritaan tradisional dengan teknologi produksi moden.
Cita Rasa Yang Melengkapkan Kisah
Pengalaman Kayangan tidak berhenti selepas tirai persembahan ditutup. Sebahagian daripada konsepnya turut diterjemahkan menerusi ‘Santapan Kayangan’, yang mengetengahkan hidangan tradisional Melayu yang dikurasikan oleh Datuk Chef Zam.
Menu yang berinspirasikan resipi dan sajian warisan turun-temurun itu menjadi pelengkap kepada cerita yang dipersembahkan di pentas. Melalui makanan, tetamu bukan sahaja menikmati hidangan, malah berpeluang mengenali sebahagian daripada tradisi kulinari yang membentuk budaya masyarakat Melayu.
Bagi Chef Zam, makanan mempunyai cara tersendiri dalam menghubungkan manusia dengan kenangan dan warisan.
“Makanan sentiasa menjadi antara cara paling indah untuk menyatukan manusia. Setiap resipi membawa kenangan yang berharga, dan setiap cita rasa mencerminkan warisan kita,” katanya.
Pendekatan tersebut menjadikan Kayangan lebih daripada sekadar persembahan atau pengalaman makan malam secara berasingan. Kedua-duanya disusun sebagai satu pengalaman yang saling melengkapi, dengan cerita disampaikan melalui apa yang dilihat dan didengar, manakala elemen kulinari pula membawa kisah yang sama ke meja makan.
Konsep ini turut membawa aspirasi untuk memperkenalkan semula warisan budaya kepada masyarakat tempatan, di samping membuka ruang kepada pelancong antarabangsa mengenali kepelbagaian budaya Malaysia dan Nusantara dalam bentuk yang lebih dekat dengan citarasa masa kini.
Bertemakan ‘Dicipta Untuk Rakyat Malaysia, Dipersembahkan kepada Dunia’, Kayangan menyatukan elemen kulinari, hospitaliti, hiburan dan seni persembahan dalam satu pengalaman.
Bertempat di Aneka Walk, SA Sentral, Shah Alam, Kayangan menawarkan pengalaman santapan budaya dalam suasana terbuka, dengan kemudahan hiburan yang menyokong pementasan serta pengalaman menjamu selera.
Kayangan merupakan kolaborasi antara Rich Talents Resources Sdn Bhd, Kruniverse Sdn Bhd dan Runningmen Celebrations Sdn Bhd, yang menggabungkan kepakaran daripada bidang kulinari, hospitaliti, hiburan dan pengurusan acara.
Menerusi gabungan tersebut, Hikayat Nusantara bukan sekadar membawa kisah dari masa lalu ke pentas, tetapi cuba melihat semula bagaimana warisan boleh terus diceritakan, dinikmati dan dihargai dalam suasana masa kini.
Bagi yang ingin merasai sendiri kisah, seni dan cita rasa yang diketengahkan menerusi Hikayat Nusantara ini, maklumat lanjut boleh diperoleh melalui platform dan saluran komunikasi rasmi Kayangan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments