DUNIA seni tanah air kehilangan seorang lagi figura berpengaruh apabila pelakon veteran, Jalil Hamid, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Shah Alam sekitar jam 12.30 tengah hari, Isnin.
Allahyarham yang bernama penuh Abdul Jalil Abul Hamid menghembuskan nafas terakhir pada usia 69 tahun ketika sedang tidur.
Berita pemergian pelakon, penyanyi dan pelawak kelahiran Masai, Johor itu turut disahkan oleh anak perempuannya, Afiqah Jalil, yang memaklumkan detik tersebut kepada media.
“Ya betul, ayah saya sudah meninggal dunia. Dia meninggal dalam tidur. Kami sedar pada pukul 12.30 tengah hari,” ujarnya sebagaimana dilaporkan media.
Sebelum ini, Allahyarham pernah disahkan mengalami masalah jantung bengkak selepas menjalani pembedahan pada Julai 2022. Keadaan kesihatan itu turut menyebabkannya mengalami penurunan berat badan mendadak sehingga 30 kilogram akibat hilang selera makan.
Allahyarham mula mencipta nama dalam industri seni pada awal 1980-an dan aktif dalam pelbagai cabang termasuk lakonan pentas, drama televisyen serta filem. Sepanjang kerjayanya, Allahyarham dikenali sebagai pelakon versatil yang mampu membawa pelbagai watak dengan berkesan.
Antara filem yang pernah menampilkan lakonannya termasuk Baginda (1997), Zombi Kampung Pisang (2007), Lelaki Harapan Dunia (2014), Bisik Pada Langit (2017) serta 6 Jilake (2025).
Selain lakonan, Allahyarham juga pernah berkecimpung dalam bidang muzik dan dikenali menerusi beberapa buah lagu seperti Ayam, Makan dan Raya yang dimuatkan dalam album sulungnya berjudul Jalil Hamid pada tahun 1993.
Ketika hayatnya, Allahyarham turut menerima pengiktirafan dalam industri hiburan, antaranya Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-13 menerusi filem Baginda, Pelakon Lelaki Terbaik Filem di Anugerah Telenovela 2018 (Bisik Pada Langit), serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2016 (Calon Syurga).
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Al Munawwarah, Shah Alam, Selangor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 21 selepas solat Asar. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments