DUNIA muzik kehilangan satu lagi figura ikonik apabila penyanyi dan penulis lagu legenda R&B, Peabo Bryson, dilaporkan meninggal dunia pada Selasa.
Pemenang dua Anugerah Grammy itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 75 tahun dalam keadaan tenang, dikelilingi ahli keluarga dan insan tersayang.
Berita pemergiannya disahkan menerusi kenyataan keluarga yang turut meluahkan penghargaan atas sokongan dan kasih sayang yang diterima daripada peminat, rakan industri serta masyarakat di seluruh dunia.
“Walaupun hati kami hancur dengan pemergiannya, kami berasa tenang apabila mengetahui betapa ramai yang menyayangi Peabo dan bagaimana suaranya serta keperibadiannya yang murah hati menyentuh begitu banyak kehidupan. Legasi dan muziknya akan terus hidup untuk generasi akan datang,” ujar kenyataan tersebut.
Menurut laporan media antarabangsa, Bryson mengalami serangan strok beberapa hari sebelum pemergiannya dan sedang menerima rawatan perubatan. Bagaimanapun, punca rasmi kematian tidak didedahkan kepada umum.
Nama Peabo Bryson mungkin paling dekat di hati peminat menerusi lagu-lagu romantik yang menjadi siulan sepanjang era 1980-an dan 1990-an. Namun, mendiang turut dikenang sebagai antara suara paling ikonik dalam sejarah muzik Disney.
| Peabo Bryson dan Celine Dion ketika menyampaikan lagu Lagu Beauty and the Beast dalam sebuah persembahan. |
Lagu Beauty and the Beast bersama Celine Dion serta A Whole New World bersama Regina Belle bukan sahaja meraih populariti di seluruh dunia, malah menjadi antara karya paling berjaya dalam kerjayanya. Kedua-dua lagu tersebut turut menghadiahkan Bryson dua kemenangan Grammy dan mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi balada paling berpengaruh pada zamannya.
Selain kejayaan menerusi runut bunyi filem, Bryson turut menghasilkan deretan lagu popular seperti Tonight, I Celebrate My Love, If Ever You're in My Arms Again, Can You Stop the Rain, Show & Tell dan Feel the Fire, yang terus menjadi kegemaran peminat muzik soul dan R&B sehingga hari ini.
Dilahirkan sebagai Robert Peapo Bryson di Greenville, South Carolina, Amerika Syarikat, mendiang memulakan kerjaya muzik bersama kumpulan Moses Dillard and the Tex-Town Display sebelum melancarkan perjalanan sebagai artis solo.
Tidak lama kemudian, Bryson menandatangani kontrak bersama Bang Records dan mula membina reputasi sebagai antara penyanyi balada paling disegani dalam industri muzik Amerika.
Legasi Lima Dekad
Sepanjang lebih lima dekad berkarya, Bryson menghasilkan lebih 20 album studio dan menerima pelbagai pencalonan anugerah berprestij. Keupayaannya menyampaikan lagu-lagu romantik dengan penuh emosi menjadikan beliau antara penyanyi duet paling berjaya dalam sejarah muzik R&B.
Mendiang turut bekerjasama dengan ramai artis terkenal termasuk Roberta Flack, Natalie Cole dan Kenny G, selain pernah terlibat dalam beberapa produksi teater seperti Raisin, The Wiz dan Porgy and Bess.
Pada 2019, Bryson pernah dikejarkan ke hospital akibat serangan jantung, namun berjaya pulih dan kembali aktif membuat persembahan.
Mendiang kemudiannya meneruskan kerjaya muzik dengan semangat baharu, termasuk menerusi album Stand for Love yang diterbitkan oleh duo penerbit terkenal, Jimmy Jam dan Terry Lewis.
Pemergian Bryson disifatkan sebagai kehilangan besar kepada dunia muzik, khususnya dalam genre R&B dan balada romantik. Namun, menerusi suara yang pernah mengiringi kisah cinta, harapan dan nostalgia jutaan pendengar di seluruh dunia, legasinya dijangka terus hidup dan dikenang untuk generasi akan datang. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments