Daveigh Chase, Pelakon 'The Ring', Meninggal Dunia pada Usia 35 Tahun


PELAKON Hollywood Daveigh Chase, yang pernah memukau penonton sebagai suara Lilo dalam animasi Disney Lilo & Stitch serta menghidupkan watak menyeramkan Samara Morgan menerusi The Ring, meninggal dunia pada 16 Jun lalu.

Menurut laporan media antarabangsa, Chase menghembuskan nafas terakhir pada usia 35 tahun di sebuah hospital di Los Angeles selepas mengalami komplikasi akibat meningitis yang membawa kepada jangkitan darah (sepsis).

Pelakon kelahiran Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat itu sebelum ini dilaporkan menerima rawatan akibat malnutrisi sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot.

Nama Daveigh Chase mula mencuri perhatian Hollywood apabila mendiang meminjamkan suaranya sebagai Lilo dalam filem animasi Disney Lilo & Stitch (2002), satu persembahan yang menerima pujian meluas dan melayakkannya memenangi Annie Award bagi kategori lakonan suara terbaik.

Pada tahun sama, Chase mempamerkan sisi berbeza dalam filem seram The Ring apabila membawakan watak Samara Morgan. Karakter kanak-kanak misteri itu kemudian menjadi antara ikon paling diingati dalam sejarah filem seram moden, selain membawanya meraih MTV Movie Award bagi kategori Best Villain.

Legasi Bintang Cilik

Kerjaya Chase bermula melalui kemunculan awal dalam beberapa siri televisyen popular termasuk Sabrina the Teenage Witch, sebelum beliau terus mengukuhkan nama menerusi filem kultus Donnie Darko (2001). Mendiang turut meminjamkan suara kepada watak Chihiro dalam versi bahasa Inggeris filem animasi Jepun Spirited Away, serta membintangi drama HBO Big Love selama beberapa musim.

Selepas pertengahan dekad 2010-an, Chase semakin menjauhkan diri daripada dunia hiburan dan jarang muncul di khalayak umum. Walaupun perjalanan hidupnya berakhir terlalu awal, legasi Daveigh Chase terus hidup menerusi dua watak yang cukup berbeza iaitu Lilo yang ceria dan Samara yang menggerunkan.

Kedua-duanya bukan sahaja meninggalkan kesan kepada peminat, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pelakon muda paling berbakat pada awal era 2000-an.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments