Dari Studio ke Puncak Kinabalu: Misi 80 RTM Sabah Cipta Sejarah

Misi 80 RTM Sabah mencipta momen bersejarah apabila sekumpulan penyampai radio mendaki Gunung Kinabalu dan berjaya meletakkan simbol ulang tahun RTM ke-80 di KM8.0 | FOTO: RTM

DI sebalik keindahan Gunung Kinabalu yang berdiri megah sebagai simbol kebanggaan Sabah, kawasan Layang-Layang menyimpan satu sudut yang tidak ramai tahu, sebuah titik strategik yang menempatkan stesen pemancar televisyen dan FM milik Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Dari latar inilah tercetusnya sebuah misi simbolik yang menghubungkan puncak gunung dengan perjalanan 80 tahun dunia penyiaran negara.

Idea untuk membawa nama RTM ke puncak Kinabalu dicetuskan oleh Pengarah Penyiaran Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali, sebelum dilaksanakan oleh barisan penyampai radio RTM Sabah. Ia kemudian berkembang menjadi satu misi bersejarah yang menggabungkan semangat penyiaran, ketahanan fizikal dan kerja berpasukan.

Tanggal 8 April menyaksikan kejayaan mereka meletakkan papan tanda logo sambutan Ulang Tahun Hari RTM ke-80 di KM8.0 Gunung Kinabalu. Detik ini bukan sekadar simbolik, tetapi menjadi lambang kepada Misi 80 RTM Sabah yang mengangkat semangat kebersamaan dan dedikasi warga penyiaran.

Seramai lapan penyampai radio dan seorang Penolong Pengurus, Nursuhaila Sabrina Ba’as Abdullah, terlibat dalam misi ini dengan penuh komitmen. Barisan penyampai terdiri daripada DJ Raydwin, DJ Kakaci, DJ Aziyah dan DJ Rafik dari SABAHfm, bersama DJ Wan (SANDAKANfm), DJ Peter (SABAHVfm), DJ Claire (KENINGAUfm) dan DJ Wan J (TAWAUfm).

Inisiatif ini turut memperlihatkan sisi lain warga penyiaran RTM Sabah yang bukan sahaja berperanan di studio, tetapi juga memiliki ketahanan fizikal dan mental dalam menghadapi cabaran di lapangan. Ia membuktikan bahawa dunia penyiaran menuntut disiplin, daya tahan dan semangat kerja berpasukan yang tinggi.

Cabaran Di Ketinggian Kinabalu

Pendakian menuju KM8.0 dan seterusnya ke puncak Kinabalu bukanlah sesuatu yang mudah. Laluan berbatu dan licin, ditambah dengan cuaca sejuk serta perubahan altitud, menguji ketahanan fizikal setiap peserta.




Menurut penerbit misi, Raydwin Robin, cabaran utama turut melibatkan komunikasi terhad apabila talian telefon dan internet menjadi tidak stabil sepanjang pendakian. Keadaan ini menyukarkan penyelarasan dan penghantaran maklumat ketika misi berlangsung.

Selain itu, faktor mental juga memainkan peranan besar apabila peserta perlu menyesuaikan diri dengan suhu ekstrem, kekurangan oksigen dan tekanan di kawasan tinggi. Gabungan cabaran ini menuntut fokus, disiplin dan semangat yang tinggi dalam memastikan misi dapat disempurnakan.

Walaupun berdepan pelbagai kesukaran, setiap langkah dalam misi ini menjadi bukti bahawa kejayaan lahir daripada persediaan rapi, ketahanan diri dan semangat berpasukan yang kukuh. Cabaran yang dihadapi bukan penghalang, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih bermakna.

Pencapaian Misi 80 ini turut menerima sokongan Pengarah Bahagian Program Radio, Saifuzzaman Yusop, yang menzahirkan penghargaan terhadap usaha seluruh pasukan RTM Sabah.

Menurutnya, RTM telah lama menjadi suara negara yang menyatukan masyarakat, menyebarkan maklumat dan mengangkat nilai perpaduan sepanjang lapan dekad penubuhannya.

Kerjasama antara RTM Sabah dan Taman-Taman Sabah (TTS) dalam misi ini turut memberi impak lebih luas, bukan sahaja kepada penyiaran tetapi juga kepada usaha mempromosikan pemuliharaan alam, biodiversiti dan ekopelancongan di Sabah.

Kini selepas 80 tahun perjalanan, RTM terus kekal sebagai antara institusi penyiaran utama negara. Misi di Kinabalu ini menjadi simbol bahawa semangat tersebut terus hidup menembusi cabaran, melangkaui batas dan mencapai kejayaan di puncak yang lebih tinggi.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments