| Program Jom Pusing Asia #travelbajet membawa pendekatan baharu dalam dunia travelog | FOTO: RTM |
DALAM era digital yang semakin berkembang, pengalaman melancong kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada perancangan konvensional.
Teknologi kecerdasan buatan (AI) mula memainkan peranan penting dalam memudahkan perjalanan, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai individu untuk meneroka dunia dengan cara yang lebih bijak dan efisien.
Pendekatan ini menjadi teras kepada program travelog Jom Pusing Asia #travelbajet, yang membawa penonton merentasi empat wilayah utama Asia iaitu Asia Tenggara, Asia Timur, Asia Tengah dan Asia Barat.
Melibatkan sembilan negara dan lebih 100 lokasi berbeza, program ini diolah menjadi 13 episod yang bukan sahaja memaparkan keindahan destinasi, tetapi juga menyampaikan mesej bahawa melancong tidak semestinya mahal.
Individu di sebalik penghasilan program ini ialah Aizat Hamidi, yang memikul peranan sebagai pengarah, penulis skrip dan hos. Keseluruhan perjalanan ini dirakam secara solo, memberikan sentuhan peribadi yang lebih autentik pada setiap episod.
Teknologi dan Bajet Ubah Cara Melancong
Pengembaraan ini tidak dilakukan secara bersendirian sepenuhnya, tetapi teknologi AI menjadi ‘teman’ penting sepanjang perjalanan. Penggunaan teknologi penjejakan AI membolehkan rakaman dilakukan dengan lebih lancar tanpa memerlukan kru produksi yang besar, selain memastikan visual sentiasa stabil dan fokus melalui pengesanan wajah serta pergerakan secara masa nyata.
Integrasi pembelajaran mesin dan penglihatan komputer turut membantu menganalisis pergerakan serta situasi di sekeliling, menjadikan proses rakaman lebih efisien dan dinamik.
Untuk konteks kandungan pelancongan, pendekatan ini memberi kelebihan kerana fokus utama dapat diberikan kepada lokasi dan pengalaman, bukan sekadar hos semata-mata.
Dalam masa sama, program ini mengetengahkan konsep melancong secara DIY dengan bajet terhad. Setiap destinasi diterokai dalam tempoh empat hari tiga malam dengan perbelanjaan tidak melebihi RM2,000.
Pendekatan ini secara tidak langsung mencabar persepsi umum bahawa melancong memerlukan kos yang tinggi, sebaliknya membuktikan bahawa pengalaman bermakna boleh dicapai dengan perancangan yang bijak.
Namun, cabaran tetap wujud, khususnya dari segi komunikasi di negara yang kurang menggunakan Bahasa Inggeris seperti Uzbekistan dan Kazakhstan.
Dalam situasi ini, teknologi sekali lagi menjadi penyelamat. Aplikasi terjemahan seperti Google Translate dan fungsi Google Lens memudahkan interaksi dengan masyarakat tempatan, termasuk memahami papan tanda, menu makanan dan maklumat penting lain secara masa nyata.
Kemudahan ini juga memainkan peranan besar ketika berada di China, di mana ekosistem digitalnya berbeza daripada kebanyakan negara lain. Dengan bantuan teknologi, proses penyesuaian terhadap peraturan aplikasi tempatan menjadi lebih mudah, sekali gus memastikan perjalanan berjalan lancar tanpa gangguan besar.
Dari sudut kandungan, setiap episod menawarkan pengalaman berbeza. Daripada keindahan alam Bali dan Pulau Nusa Penida, ke pengembaraan di Cebu, Filipina yang sarat dengan sejarah dan aktiviti lasak, hinggalah ke pesona budaya di Kunming, China yang menampilkan gabungan alam semula jadi dan warisan tempatan.
Perjalanan ini diakhiri di Arab Saudi apabila Aizat menunaikan ibadah umrah secara DIY, bermula dari Jeddah hingga ke Masjidil Haram di Mekah, lengkap dengan ziarah ke lokasi bersejarah seperti Jabal Rahmah dan Jabal Nur memberikan dimensi rohani yang melengkapkan keseluruhan pengembaraan.
Bagi yang ingin mengikuti pengalaman ini, Jom Pusing Asia #travelbajet telah mula bersiaran sejak 2 April lalu dan ditayangkan setiap Khamis, jam 6 petang di saluran Okey, selain boleh distrim menerusi platform RTMKlik. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments