KEHADIRAN Syawal pastinya membawa makna yang lebih mendalam daripada sekadar perayaan. Ia menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan, menyatukan kembali yang jauh, dan menzahirkan kasih sayang yang mungkin terpendam.
Mengangkat semangat ini, TV AlHijrah tampil dengan kempen Syawal bertemakan ‘Eratkan Kasih, Bertaut Sayang’, satu inisiatif yang dirangka untuk menyemai nilai kekeluargaan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Melalui kempen ini, rangkaian program disusun dengan pendekatan menyeluruh, merangkumi pengisian menjelang malam raya, siaran pagi Syawal, telefilem keluarga serta kandungan khas untuk kanak-kanak.
Keseluruhan susunan ini memberi ruang kepada penonton untuk menghayati makna Aidilfitri secara lebih mendalam, bukan sahaja melalui hiburan, tetapi juga melalui pengisian rohani dan nilai kemanusiaan yang dekat dengan kehidupan seharian.
Menurut Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, setiap program dipilih dengan pertimbangan teliti agar pengalaman menonton sepanjang Syawal dapat dirasai dengan sempurna.
Bermula dengan suasana malam menjelang 1 Syawal yang membangkitkan rasa keterujaan menyambut raya, diikuti dengan pengisian pagi lebih reflektif, sebelum diteruskan dengan karya dramatik dan program santai sesuai untuk seisi keluarga.
Pendekatan ini memberi keseimbangan antara hiburan, pendidikan dan keinsafan dalam satu naratif yang berterusan.
Pembuka tirai kempen ini dimulakan dengan program
Salam Lebaran Raya yang bersiaran pada malam menjelang 1 Syawal. Program ini menampilkan alunan takbir, ucapan perantau serta persembahan daripada barisan artis seperti Raihan, DJ Dave, Mawi, Ezad Lazim, Ustaz Rozi Harun dan Kumpulan Ar Rayyan.
Dikendalikan oleh Ustaz Izmir Fareez bersama Faizal Ismail, suasana yang dibawakan sederhana, namun sarat dengan rasa syahdu dan keberkatan, menyatukan elemen hiburan dan pengisian rohani dalam satu pentas.
Memasuki pagi Syawal, program
Assalamualaikum Khas Syawal mengambil alih dengan siaran selama tiga hari berturut-turut, bermula seawal jam 7 pagi. Kandungannya merangkumi perbincangan mengenai adab berhari raya, kepentingan menjaga hubungan kekeluargaan serta nilai kasih sayang yang menjadi asas dalam kehidupan bermasyarakat.
Barisan hos yang berpengalaman menghidupkan suasana dengan pendekatan santai namun berisi, menjadikan setiap segmen mudah didekati oleh pelbagai lapisan penonton.
Selain pengisian ringan dan informatif, kempen ini turut memberi ruang kepada kisah yang lebih menyentuh emosi menerusi program
Ini Kisahku Raya.
Berlatarbelakangkan Pusat Jagaan Al Fikrah Malaysia, program ini mengangkat realiti sambutan Aidilfitri dalam suasana sederhana, memperlihatkan sisi kehidupan yang sarat dengan kerinduan, harapan dan doa. Penceritaan yang dibawakan memberi perspektif berbeza tentang makna Syawal, sekali gus mengajak penonton untuk lebih menghargai nikmat kebersamaan.
Bagi penonton cilik,
Jom Dengar Cerita Istimewa Aidilfitri tampil sebagai ruang pembelajaran yang disampaikan dalam bentuk santai dan interaktif. Program ini mengetengahkan nilai adab, rasa hormat dan kepentingan hubungan sesama insan, dengan pendekatan yang dekat dengan dunia kanak-kanak, sekali gus menjadikannya mudah difahami dan dihayati.
Kempen ini turut diperkukuh dengan dua telefilem istimewa yang menyentuh tema kekeluargaan dan keinsafan.
Menantu Datuk Nikah Kahwin membawa kisah konflik dan penerimaan dalam sebuah keluarga apabila berhadapan dengan perbezaan latar belakang, manakala
Surat Dari Syurga mengangkat perjalanan seorang anak yang kembali mencari makna hidup setelah tersasar daripada tanggungjawabnya.
Kedua-dua naskhah ini memberi dimensi emosi yang berbeza, namun tetap berpaksi pada nilai kekeluargaan dan kasih sayang.
Secara keseluruhannya, kempen ‘Eratkan Kasih, Bertaut Sayang’ bukan sekadar himpunan program bermusim, tetapi satu usaha untuk menghidupkan kembali nilai yang sering menjadi teras kepada Aidilfitri.
Melalui susunan kandungan seimbang dan menyeluruh, TV AlHijrah menampilkan pengalaman tontonan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi makna yang lebih mendalam kepada setiap detik Syawal.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments