| Allahyarahm Mariamah dikenali sebagai antara suara emas radio RTM yang memiliki pengalaman luas serta dedikasi tinggi dalam bidang penyiaran |
DUNIA penyiaran tanah air kehilangan salah satu suara emas yang pernah mewarnai era kegemilangannya apabila bekas juruhebah dan penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mariamah Tijo, meninggal dunia sekitar jam 5 pagi, Khamis.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga tercinta di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada usia 76 tahun, menutup tirai perjalanan hidup yang sarat dengan jasa dalam dunia penyiaran radio tempatan.
Berita pemergian itu disahkan oleh anak lelakinya, Hatta Othman, menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya.
“Ibunda saya, Hajah Mariamah Tijo telah kembali ke rahmatullah pada jam 5 pagi ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin,” tulisnya.
Difahamkan, Allahyarham sebelum ini berdepan beberapa masalah kesihatan termasuk angin ahmar yang dialami sejak empat tahun lalu. Keadaan kesihatannya bagaimanapun dilaporkan merosot dalam tempoh dua hari kebelakangan ini selepas mengalami kesukaran bernafas sebelum dimasukkan ke hospital.
Sepanjang hayatnya, Mariamah dikenali sebagai antara suara emas radio RTM yang memiliki pengalaman luas serta dedikasi tinggi dalam bidang penyiaran.
Memulakan kerjaya seawal tahun 1972, Allahyarham bukan sahaja menjadi figura penting di sebalik tabir siaran radio, malah turut dianggap sebagai antara perintis yang membantu membentuk landskap penyiaran radio di Malaysia.
Mariamah meninggalkan tujuh cahaya mata serta legasi yang tidak ternilai dalam industri penyiaran tempatan, satu nama yang akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah suara radio negara.
Jenazah Allahyarham dijangka dibawa ke Masjid Darul Ehsan untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21 sebelum waktu Zohor, hari ini. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments