'Perfect Crown' Curi Tumpuan Global, Chemistry IU & Wooseok Jadi Sorotan

Perfect Crown mencuri perhatian global apabila mencatat jumlah tontonan luar biasa di Disney+ hanya dalam tempoh lima hari tayangan | FOTO: Disney+ 

PLATFORM penstriman Disney+ sekali lagi mencuri perhatian apabila siri komedi romantik terbaharu, Perfect Crown, mencatat kejayaan luar biasa di peringkat global.

Hanya dalam tempoh lima hari selepas ditayangkan, siri ini terus melonjak sebagai tayangan perdana Korea paling banyak ditonton di platform berkenaan.

Dilancarkan pada 10 April, Perfect Crown membawa penonton menyelami kehidupan seorang figura diraja yang menjadi kegemaran ramai, Grand Prince I-AN, yang secara tiba-tiba terperangkap dalam perebutan kuasa bersama ahli keluarga diraja yang lain.

Di sebalik imej yang disanjung, tekanan terhadapnya untuk segera berkahwin mula memuncak, sekali gus mencetuskan satu keputusan yang tidak dijangka. Bagi memenuhi tuntutan tersebut, I-AN memilih untuk berkahwin atas dasar kepentingan bersama dengan Huiju, pewaris kepada sebuah konglomerat besar Korea.

Hubungan yang bermula sebagai strategi ini bagaimanapun mula berubah arah apabila kedua-duanya semakin rapat dalam usaha mencapai matlamat masing-masing. Perasaan yang mula berputik menjadikan situasi semakin kompleks, sekali gus menggugat perancangan awal yang disusun dengan teliti.

Siri ini dibintangi oleh IU sebagai Huiju, pewaris kedua dalam empayar perniagaan keluarganya, manakala watak Grand Prince I-AN dibawakan oleh Byeon Wooseok.

Perfect Crown diarahkan oleh Park Joonhwa dan ditulis oleh Yoo Jiwon, gabungan kreatif yang menjanjikan naratif penuh emosi dan dinamika hubungan yang menarik.

Dua episod pertama kini sudah tersedia untuk ditonton di Disney+, dengan episod baharu akan ditayangkan setiap Jumaat dan Sabtu pada jam 10.20 malam (MYT), sehingga ke episod akhir yang dijadualkan pada 16 Mei.

Sebagai antara judul Korea terkini yang dipertaruhkan oleh Disney+, Perfect Crown jelas menunjukkan potensi besar dalam menarik perhatian penonton global. Siri ini kini boleh distrim di Disney+ untuk mereka yang ingin mengikuti kisah cinta dan intrik istana yang penuh kejutan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments