SEMANGAT Aidilfitri yang sinonim dengan kebersamaan dan keprihatinan diraikan dengan penuh makna menerusi inisiatif ‘Raya Sama-Sama’ oleh Yayasan MR D.I.Y., yang kembali dilaksanakan tahun ini sebagai usaha berterusan menyantuni komuniti memerlukan di seluruh Malaysia.
Menerusi inisiatif ini, sebanyak 13 rumah kebajikan di pelbagai negeri dikunjungi dengan sumbangan keseluruhan bernilai RM21,000, bertujuan membantu persiapan perayaan serta memenuhi keperluan harian para penghuni.
Setiap rumah menerima kotak penjagaan ‘Raya Sama-Sama’ yang mengandungi pelbagai barangan termasuk hiasan Hari Raya, keperluan rumah serta baucar tunai MR D.I.Y., sekali gus memberi peluang kepada mereka meraikan Aidilfitri dalam suasana yang lebih ceria dan bermakna.
Usaha ini memberi manfaat kepada lebih 820 individu yang terdiri daripada kanak-kanak, penjaga, warga emas serta keluarga kurang berkemampuan, agar mereka turut dapat merasai kehangatan dan kegembiraan musim perayaan yang dinanti-nantikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR D.I.Y., Zaleha Mohd Mydin, menyifatkan Hari Raya sebagai waktu yang signifikan untuk mengeratkan hubungan, menzahirkan rasa syukur serta berkongsi kegembiraan bersama insan lain.
Menurutnya, inisiatif ‘Raya Sama-Sama’ bukan sahaja membawa keceriaan kepada komuniti terlibat, malah menjadi simbol bahawa mereka sentiasa dikelilingi oleh keprihatinan dan sokongan, khususnya pada saat yang penuh makna ini.
Meraikan Kegembiraan Melalui Sentuhan Kemanusiaan
Suasana penuh ceria jelas terpancar sepanjang program berlangsung apabila para penghuni dan sukarelawan berkumpul, berkongsi momen istimewa dalam suasana santai dan mesra. Kehadiran maskot MR D.I.Y., PANDAi, turut menambahkan elemen keceriaan, mencipta detik-detik menggembirakan yang sukar dilupakan.
| Kunjungan pasukan MR D.I.Y mengundang keterujaan kepada anak-anak di rumah kebajikan yang terlibat | FOTO: MR D.I.Y |
Di Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu di Ampang, aktiviti interaktif seperti permainan dan sesi tarian menjadi penghubung yang merapatkan jurang antara sukarelawan dan kanak-kanak.
Mereka turut mengambil bahagian dalam menghias ruang kediaman dengan dekorasi bertemakan Hari Raya, menjadikan persiapan Aidilfitri lebih bermakna dan penuh keterujaan.
Dalam lawatan sama, Naib Presiden Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh, turut menyampaikan sumbangan baucar tunai bernilai RM3,000 kepada rumah kebajikan tersebut sebagai sokongan tambahan kepada keperluan mereka.
Sebagai pelengkap kepada inisiatif ini, Yayasan MR D.I.Y. turut menganjurkan pengagihan bubur lambuk di Masjid Taman Bukit Belimbing pada 26 Februari, 5 Mac dan 12 Mac, yang memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 penerima.
Usaha ini bukan sahaja menyemarakkan semangat Ramadan, malah mengukuhkan lagi nilai kebersamaan dalam komuniti setempat.
Antara rumah kebajikan yang menerima manfaat di bawah inisiatif ‘Raya Sama-Sama’ termasuk Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim di Perlis, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim (Kelantan), Pertubuhan Anak-Anak Yatim dan Kebajikan Darul Izzah (Pahang), Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam (Perak), Rumah Anak-Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj di Melaka serta Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Segamat (Johor).
Selain itu, turut menerima sokongan ialah Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Kuala Terengganu (Terengganu), Pusat Jagaan Qaseeh (Kedah), Pusat Jagaan Warga Emas Intan (Pulau Pinang), Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan (Negeri Sembilan), Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah (Sarawak) serta Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu (Selangor).
Inisiatif seperti ‘Raya Sama-Sama’ memperlihatkan bagaimana usaha kecil mampu membawa makna besar kepada masyarakat. Ia menjadi cerminan bahawa nilai kebersamaan dan keprihatinan masih kekal relevan, terutama dalam meraikan momen yang penuh signifikan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments