Harry Styles Kembali Dengan Album Baharu ‘Kiss All The Time. Disco, Occasionally.


BINTANG pop antarabangsa yang juga pemenang Anugerah Grammy, Harry Styles, kembali mencuri perhatian peminat muzik global dengan pelancaran album studio terbaharunya berjudul Kiss All The Time. Disco, Occasionally.

Album yang dinanti-nantikan itu diterbitkan menerusi label Erskine Records bersama Columbia Records, sekali gus menandakan era baharu dalam perjalanan muzik penyanyi tersebut.

Seiring pelancaran album tersebut, sebuah video muzik untuk lagu American Girls turut diperkenalkan kepada peminat. Visual berkenaan diarahkan oleh pengarah pemenang Grammy, James Mackel, yang memberikan sentuhan sinematik tersendiri kepada karya terbaharu Styles.

Album Kiss All The Time. Disco, Occasionally. merupakan album studio keempat dalam diskografi Styles dan menjadi karya muzik pertamanya sejak kejayaan besar album Harry’s House yang diterbitkan pada tahun 2022.

Album tersebut bukan sahaja mencatat pelbagai rekod di carta muzik, malah turut memenangi kategori Album of the Year di Grammy Awards 2023.

Untuk album baharu ini, Styles terlibat secara langsung dalam proses penulisan kesemua lagu bersama penerbit muzik Kid Harpoon yang bertindak sebagai penerbit eksekutif.  Ia memuatkan 12 buah lagu termasuk single utama Aperture, yang berjaya menduduki tangga pertama carta muzik.

Persembahan Istimewa dan Jelajah Dunia

Bagi meraikan pelancaran album ini, platform penstriman Netflix turut membawa peminat lebih dekat dengan karya baharu Styles melalui sebuah persembahan khas yang menampilkan lagu-lagu daripada album tersebut.

Persembahan yang dirakam di Manchester itu disiarkan secara global, memberikan peluang kepada peminat di seluruh dunia untuk menikmati pengalaman konsert tersebut secara penuh.

Selain itu, penyanyi berusia 30 tahun itu juga melancarkan siri kedai pop-up khas bersempena album Kiss All The Time. Disco, Occasionally. dengan kerjasama American Express.

Inisiatif ini melibatkan 16 lokasi di beberapa bandar utama dunia termasuk Amsterdam, Atlanta, Berlin, Chicago, Houston, London, Los Angeles, Miami, New York City, Paris, Phoenix, Rome, Seattle, Sydney, Tokyo dan Toronto.

Melalui ruang pop-up ini, peminat bukan sahaja berpeluang menyelami konsep kreatif album tersebut, malah dapat menikmati pelbagai aktiviti khas serta koleksi barangan eksklusif yang direka khusus bagi meraikan pelancaran karya baharu Styles.

Dalam masa sama, Styles juga dijadualkan kembali muncul sebagai hos dan tetamu muzik dalam rancangan komedi ikonik Saturday Night Live di rangkaian NBC pada 14 Mac ini, menandakan penampilan keduanya dalam program tersebut.

Lebih menarik, penyanyi itu bakal membuat kemunculan semula di pentas global menerusi siri residensi konsert di tujuh bandar utama pada 2026.

Jelajah bertajuk Together, Together yang dipromosikan oleh Live Nation dijangka merangkumi 67 persembahan di bandar seperti Amsterdam, London, São Paulo, Mexico City, New York City, Melbourne dan Sydney, bermula dari Mei hingga Disember.

Antara sorotan utama jelajah tersebut termasuk 30 malam persembahan di Madison Square Garden serta enam malam konsert di Wembley Stadium. Beberapa artis terkenal turut dijadualkan membuat penampilan khas pada tarikh tertentu, termasuk Robyn, Shania Twain, Jorja Smith, Jamie xx, Fousheé dan Skye Newman.

Album Kiss All The Time. Disco, Occasionally. memuatkan 12 lagu iaitu Aperture, American Girls, Ready, Steady, Go!, Are You Listening Yet?, Taste Back, The Waiting Game, Season 2 Weight Loss, Coming Up Roses, Pop, Dance No More, Paint By Numbers dan Carla’s Song.

Pelancaran album ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan Styles sebagai antara figura paling berpengaruh dalam landskap muzik pop global masa kini. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments