‘Yang Engkau Mahukan’ - Hafiz Kongsi Kisah Hidup Sendiri Dalam Lagu Baharu


BIARPUN sudah 17 tahun bergelar penyanyi rakaman profesional, Hafiz Suip mengakui masih merasai debaran setiap kali melangkah ke studio untuk merakam lagu baharu.

Perasaan itu kembali muncul ketika merakamkan single Yang Engkau Mahukan, terbitan Sheikh Qalam Records Sdn Bhd bersama Sony Music Entertainment Malaysia yang sekali lagi menampilkan kolaborasinya dengan komposer tersohor, Ajai.

Menurut Hafiz, lagu ini istimewa kerana memiliki elemen unik dan tidak statik, sama ada dari segi melodi atau bunyi. Ciri inilah yang membuatkan karya-karya Ajai sering menjadi pilihannya sejak dahulu lagi.

“Saya akui agak gementar membawakan Yang Engkau Mahukan kerana tidak tahu apa reaksi dan ekspektasi peminat. Apatah lagi industri muzik kita kini dipenuhi penyanyi solo lelaki, jadi memang ada sedikit cabaran dan tekanan.

"Namun, ini hadiah untuk peminat yang telah menunggu lama, dan saya berharap mereka akan menyukainya,” katanya.

Menariknya, selain menampilkan melodi dan lirik yang unik, single ini juga sarat dengan elemen peribadi Hafiz sendiri. Ia bukan sekadar lagu, tetapi medium untuk Hafiz menyampaikan cerita dan emosi yang dekat dengan dirinya kepada para pendengar.

“Ia menceritakan tentang diri dan pengalaman hidup saya. Bagi yang faham, tahulah. Yang lain, terserah kepada interpretasi masing-masing,” jelasnya.

Berkongsi mengenai proses rakaman, Hafiz mendedahkan sebelum rakaman dilakukan, dia dan Ajai mengambil masa ‘bertapa’ di studio untuk membincangkan setiap aspek lagu yang dimahukan.

“Proses perbincangan berjalan lancar dan tidak mengambil masa terlalu lama. Namun, rakaman suara terpaksa dilakukan dua kali untuk mencari key yang paling sesuai dengan vokal saya.

"Pada percubaan kedua, Ajai menaikkan satu key dan akhirnya dia berpuas hati. Barulah rakaman itu sesuai dengan karektor dan dinamika vokal saya,” jelas penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini lagi.


Hafiz bersama isteri, Fiona Safiya

Hafiz, yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-36 pada 27 Februari lalu, berharap peminat menerima lagu ini dengan baik.

“Terimalah Yang Engkau Mahukan,” ujarnya ringkas.

Menyusun Nada

Dari sudut komposer pula, Ajai memuji Hafiz kerana sudah memahami lagu itu sepenuhnya sebelum masuk ke studio.

“Alhamdulillah, dia menjiwai lagu ini dan memberikan yang terbaik. Kematangannya dalam setiap aspek muzik semakin jelas, dia tahu apa yang dia mahukan, termasuk dari segi teknikal dan bunyi terkini.

"Suara dan kelembutan tetap ada, namun penghayatan semakin mendalam, membolehkan nyanyiannya lebih sempurna. Single ini mengambil masa sebulan untuk disiapkan, bermula daripada perbincangan mengenai hala tuju dan konsep album Hafiz.

"Matlamat kami aalah untuk menyampaikan mesej lagu dengan tepat, menyentuh hati pendengar, dan memastikan lagu itu kekal diingati,” kata Ajai.

Yang Engkau Mahukan kini boleh didengar di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music sejak 16 Januari lalu.

Dalam perkembangan lain, Hafiz baru sahaja mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama wanita pilihannya, Fiona Safiya, di Petrajaya, Kuching, Sarawak pada 13 Februari lalu. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments