Dari Kuih Tak Jadi Ke Baju Tak Muat, Kimbab Kongsi ‘Drama Raya’ Pagi Syawal


SETIAP kali Syawal menjelma, pelbagai kisah lucu dan situasi tidak dijangka sering menjadi sebahagian daripada memori pagi raya.

Daripada kuih yang tidak menjadi, baju yang tiba-tiba terasa sempit, hinggalah kepada kekalutan persiapan saat akhir, semua itu seakan sudah menjadi rutin tahunan yang dikongsi oleh ramai orang.

Realiti inilah yang menjadi inspirasi kepada trio lawak popular Kimbab yang dianggotai oleh Zulin Aziz, Nasz Sally dan Maryam DurianKimchi untuk tampil memeriahkan musim perayaan dengan single berjudul Drama Raya.

Lagu tersebut membawa pendekatan santai dan menghiburkan dengan mengangkat pelbagai situasi yang sering berlaku ketika sambutan Aidilfitri. Dalam masa sama, ia turut mencerminkan perubahan suasana raya dari generasi ke generasi, menjadikan kisah yang dipaparkan terasa dekat dengan kehidupan seharian masyarakat hari ini.

Menurut Zulin Aziz yang bertindak sebagai pencipta lagu dan penulis lirik, idea penghasilan Drama Raya tercetus daripada pengalaman yang sering dilalui oleh ramai orang setiap kali tibanya Syawal.

“Lagu ini terinspirasi daripada apa yang selalu kita hadap, terutama pada pagi raya. Daripada kuih yang tidak menjadi, baju yang tidak muat, sehinggalah kepada pelbagai situasi yang memang berlaku hampir setiap tahun.

"Saya rasa semua orang pernah melalui ‘drama raya’ mereka sendiri, sebab itu muzik videonya juga penuh dengan kisah yang mudah dirasai oleh penonton,” jelasnya.

Sentuhan Komedi Dengan Elemen Unik

Mengangkat konsep 'easy listening' dengan melodi yang ringan dan mudah diingati, Drama Raya turut menampilkan elemen istimewa apabila Maryam DurianKimchi membawakan bahagian rap dalam bahasa Melayu.

Sentuhan tersebut bukan sahaja memberikan warna berbeza kepada lagu ini, malah menjadi antara tarikan utama yang membezakan Drama Raya daripada lagu raya lain.




Zulin, 37, mengakui cabaran terbesar dalam proses rakaman terletak pada bahagian rap yang perlu dibawakan dengan sebutan yang tepat. Walaupun Maryam sudah cukup fasih berbahasa Melayu, bahagian rap memerlukan latihan yang lebih teliti bagi memastikan rentak dan sebutannya kedengaran lancar.

Namun begitu, proses rakaman berjalan dengan lancar hasil komitmen setiap anggota kumpulan yang saling membantu antara satu sama lain sepanjang penghasilan lagu tersebut.

Keserasian antara mereka juga bukan sesuatu yang asing bagi peminat. Hubungan yang terjalin sejak penyertaan dalam program Muzikal Lawak Superstar terus kekal erat hingga kini, sekali gus memudahkan proses kreatif mereka sebagai satu kumpulan.

Selain menyelitkan elemen komedi, Drama Raya turut menyentuh secara santai tentang perbezaan generasi antara golongan milenial dan Gen-Z dalam menyambut Aidilfitri.

Pendekatan tersebut menjadikan lagu ini bukan sekadar hiburan ringan, tetapi juga cerminan perubahan budaya raya yang semakin berkembang tanpa mengetepikan nilai tradisi.

Dalam masa sama, Zulin berharap lagu ini mampu menjadi pengubat rindu buat para peminat setia mereka yang dikenali sebagai Kimbabers, selain menceriakan suasana sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Harapan saya semoga Drama Raya mendapat sambutan dan menjadi lagu yang menceriakan raya peminat kami. Kalau ramai yang suka, mungkin tahun depan ada sambungannya.

"Insya-Allah lagu ini juga bakal menjadi lagu tema untuk telefilem raya Kimbab berjudul Andartu Cancel Raya yang akan ditayangkan di Astro,” ujarnya.

Dengan gabungan humor, kisah realiti yang dekat dengan kehidupan, serta rentak moden yang segar, Drama Raya hadir sebagai lagu raya yang ringan namun sarat cerita. Ia mengingatkan kita bahawa di sebalik kekalutan pagi Syawal, tersimpan warna dan kehangatan sebenar sambutan Aidilfitri. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments