LAGU Masing Masing nyanyian Ernie Zakri terus mencatat sejarah apabila berjaya meraih lebih 236 juta penstriman di Spotify.
Kolaborasi bersama komposer dan pemain gitar Ade Govinda kini diiktiraf oleh Asia Book of Records sebagai lagu Melayu/Indonesia terpantas mencapai angka 200 juta penstriman menjelang Ogos 2025.
Kejayaan ini sekali gus memperkukuh lagi profil Ernie Zakri, yang sebelum ini dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Disember 2025.
Selain itu, pengiktirafan daripada Asia Book of Records ini bukan sekadar meraikan angka penstriman, malah memberikan kredibiliti tambahan yang mampu memperluaskan pendedahan Ernie dan Ade Govinda di seluruh rantau Asia.
Asia Book of Records turut menghubungkan pencipta rekod dengan tokoh, pemimpin, dan inovator lain di benua ini, menjadikan kejayaan mereka sebagai inspirasi dan legasi yang berkekalan.
Pencapaian ini jelas membuktikan bahawa kolaborasi muzik serantau mampu merentasi sempadan negara, menyatukan pendengar di Asia Tenggara melalui karya yang penuh emosi dan kejujuran.
Emosi Menyatukan Pendengar
Menurut Ernie, kejayaan lagu ini adalah sesuatu yang tidak dijangka ketika ia mula dihasilkan.
"Saya sangat terharu dan bersyukur bila dapat tahu Masing Masing mencapai lebih 236 juta penstriman di Spotify dan diiktiraf oleh Asia Book of Records.
"Melihat ia kini meraih sambutan luar biasa sehingga melakar sejarah, saya amat menghargai sokongan padu para pendengar, terutamanya Ernienators yang setia mendukung perjalanan seni saya sejak awal lagi," ujarnya.
Sejak dilancarkan, Masing Masing bukan sahaja mendapat sambutan hangat di Malaysia dan Indonesia, malah turut menambat hati pendengar di pelbagai negara Asia Tenggara.
Menurut Ernie, kekuatan utama lagu ini terletak pada mesej dan emosi yang universal. Lagu ini berjaya menyentuh hati pendengar kerana ceritanya dekat dengan kehidupan ramai orang dan mudah diresapi oleh semua.
"Saya rasa kekuatan Masing Masing adalah pada ceritanya yang sangat dekat dengan kehidupan ramai orang. Walaupun ia lagu Melayu/Indonesia, emosi dalam lagu ini bersifat universal, jadi pendengar dari mana-mana pun boleh relate.
"Ditambah pula dengan kolaborasi saya bersama Ade Govinda dan susunan muzik yang ringkas tapi menyentuh hati, mungkin itu yang membuatkan lagu ini diterima baik di seluruh Asia Tenggara,” jelasnya.
Dengan pencapaian ini, Masing Masing terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu lagu serantau paling berjaya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, membuktikan bahawa muzik yang jujur dan penuh emosi mampu merentasi sempadan bahasa dan budaya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments