TV AlHijrah terus memperkukuh kedudukannya sebagai stesen penyiaran dakwah utama negara dengan memperkenalkan barisan program baharu bagi Slot Perdana 9 Malam 2026, yang bersiaran bermula Januari ini.
Penjenamaan semula slot ini hadir dengan format baharu, pengisian lebih interaktif, serta pendekatan dakwah yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat, sejajar dengan perubahan landskap media dan keperluan penonton masa kini.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, menegaskan bahawa Slot 9 Malam kekal sebagai nadi utama penyampaian dakwah stesen itu. Penambahbaikan dilakukan secara strategik agar kandungannya bukan sahaja relevan, malah memberi impak mendalam kepada penonton.
“Bagi TV AlHijrah, dakwah tidak boleh bersifat statik. Ia perlu hidup, bergerak dan berinteraksi dengan realiti masyarakat. Slot 9 Malam 2026 dibina dengan roh tersebut, menampilkan ilmu yang sahih, dialog yang jujur, serta pendekatan yang dekat dengan kehidupan sebenar,” katanya.
“Kami mahu penonton rasa mereka didengari, difahami dan dibimbing. Inilah teras dakwah TV AlHijrah, menyampaikan Islam dengan hikmah, empati dan kefahaman yang membumi,” ujarnya.
Program Interaktif
Antara program yang kembali dengan nafas baharu ialah Mai Mengaji yang bersiaran pada setiap Isnin. Musim terbaharu ini tampil lebih istimewa dengan penglibatan Ustaz Husaini, di samping Ustazah Rozana dan Ustazah Aisyah Bain. Konsep pembelajaran Al-Quran secara santai kini diperkukuh dengan elemen interaksi yang lebih tersusun dan bermakna.
Segmen tambahan seperti Betulkan Bacaan Saya, tugasan mingguan, serta penglibatan pelajar termasuk golongan mualaf menjadikan program ini lebih inklusif, praktikal dan fokus kepada pembetulan serta pemantapan bacaan Al-Quran dalam masyarakat.
Slot Selasa diisi dengan Dakwah Live, yang mula bersiaran pada 6 Januari lalu dan dikendalikan oleh Ustaz Izzhar Nazri. Program bual bicara secara langsung ini memberi tumpuan kepada isu kekeluargaan, kemasyarakatan dan semasa melalui perbincangan terbuka di studio.
Kandungan program diperhebatkan dengan segmen Vlog Spot, turun ke lapangan bagi mendekati realiti masyarakat, selain interaksi dua hala bersama penonton melalui panggilan telefon dan platform media sosial, menjadikan dakwah lebih responsif dan kontekstual.
Slot Rabu pula menampilkan Analisis, yang dikendalikan Amin Idris dan Talib Husin. Program ini memberi fokus kepada isu semasa, sosial dan keagamaan secara mendalam, kritikal dan berstruktur.
Dengan penglibatan pakar serta tokoh berwibawa dari pelbagai latar belakang, Analisis berperanan sebagai platform wacana intelektual untuk membantu penonton memahami isu secara seimbang, rasional, dan berpandukan nilai Islam.
Melengkapkan penawaran Slot 9 Malam ialah program baharu Dari Hati Wanita, yang bersiaran pada setiap Khamis. Dikendalikan oleh Ustazah Nazirah Abu Bakar, program ini menjadi ruang selamat dan berempati untuk wanita meluahkan serta membincangkan isu rumah tangga, kerjaya, emosi dan spiritual.
Setiap perbincangan disulami panduan Islam yang praktikal dan menenangkan, selari dengan keperluan wanita moden yang menghadapi cabaran pelbagai dimensi.
Dengan penawaran kandungan yang lebih tersusun, interaktif dan berfokus kepada isu semasa masyarakat, slot ini dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh peranan stesen ini sebagai rujukan utama dakwah dan wacana Islam di Malaysia. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments