| Hidangan istimewa Pullman Kuching, dari Yee Sang hingga ikan kukus Teochew, menyatukan rasa tradisi dan moden di meja reunion | FOTO: Pullman Kuching |
PULLMAN Kuching menyambut ketibaan Tahun Kuda melalui penganjuran malam apresiasi Tahun Baru Cina yang diraikan dalam suasana hangat dan meriah.
Acara tahunan ini bukan sekadar menandakan permulaan musim perayaan, tetapi juga memberi peluang kepada tetamu menikmati hidangan istimewa Pullman Kuching untuk sambutan Tahun Baru Cina 2026.
Bertemakan The Golden Horse Homecoming, malam apresiasi ini diinspirasikan oleh tradisi Tahun Baru Cina, di mana kepulangan ke kampung halaman dan kebersamaan di meja makan menjadi keutamaan hidangan reunion.
Lebih daripada sekadar pratonton menu, acara ini diraikan sebagai simbol pertemuan semula, kehangatan hubungan dan semangat meraikan perayaan bersama.
Sempena perayaan ini, Pullman Kuching bakal menganjurkan Lantern Night 2026 Reunion Dinner di Colosseum Ballroom yang telah melalui proses pembaharuan.
Sambutan ini merupakan interpretasi moden terhadap tradisi makan malam Tahun Baru Cina, dengan elemen perayaan yang disusun dalam suasana baharu, segar dan elegan. Tetamu dijemput untuk menghayati malam perayaan ini dalam suasana yang santai namun penuh makna.
Menurut Pengurus Besar Pullman Kuching, Sunardi Song, Tahun Baru Cina merupakan waktu di mana keluarga berkumpul dan meja makan menjadi nadi kepada setiap sambutan.
Jelasnya, Tahun Kuda yang diraikan tahun ini melambangkan pergerakan ke hadapan serta tenaga baharu, selari dengan perjalanan transformasi hotel tersebut.
Tumpuan sambutan malam Tahun Baru Cina kali ini adalah menu reunion yang dikurasi oleh Executive Chinese Chef Charles, berpandukan simbolisme dan tradisi perayaan.
Berteraskan pengaruh klasik masakan Kantonis, menu ini mengajak tetamu berkongsi hidangan sambil menikmati rasa tradisi yang digabungkan dengan sentuhan moden. Ia mencerminkan tafsiran Pullman Kuching terhadap konsep meja reunion, di mana tetamu berkumpul untuk mengeratkan hubungan sambil menyambut tahun baharu.
Hidangan Reunion & Pengalaman Kuliner
Berlatarbelakangkan keanggunan Colosseum Ballroom, hidangan dibuka dengan Yee Sang lengkap bersama abalon, simbolik kepada kemakmuran dan permulaan yang baik.
Sajian diteruskan dengan sup ketam gaya Kantonis yang jernih serta menonjolkan kemanisan semula jadi, diikuti ikan kerapu kukus Teochew yang disempurnakan dengan minyak daun bawang harum dan kicap premium bagi menyerlahkan keaslian rasa.
Seterusnya, udang laut dipanaskan atas kuali dan disaluti sos lada hitam madu, mencipta gabungan rasa manis dan pedas yang sederhana.
| Dari kiri: Pengurus Besar Pullman Kuching, Sunardi Song; Ketua Pegawai Operasi Interhill Hospitality, Eric Tan; dan Naib Presiden Operasi Interhill Hospitality, Adrian Ng | FOTO: Pullman Kuching |
Berbeza dengan makan malam reunion yang bersifat formal, pengalaman di Culina mencerminkan kehangatan sambutan seperti di rumah sendiri.
Bufet ini diinspirasikan daripada tradisi Tahun Baru Cina yang melambangkan kemewahan dan rezeki yang melimpah dengan pelbagai hidangan perayaan dan sajian serantau.
Antara tumpuan utama termasuk Itik Peking yang dihidangkan bersama sos hoisin serta lempeng tradisional, selain potongan daging lembu Angus Australia. Pilihan sajian turut menampilkan aneka hidangan Asia seperti dumpling ayam dan makanan laut, nasi goreng beraroma yang dibungkus daun teratai bersama abalon, ayam char siew serta udang kering.
Pencuci mulut seperti Kek Oren Mandarin yang melambangkan kemakmuran dan tuah turut menjadikan hidangan ini lengkap dan memuaskan.
Lebih menarik, pengalaman jamuan ini juga dilengkapkan dengan persembahan kebudayaan yang memeriahkan suasana, termasuk 24 Festive Drums, Orkestra Cina dan Crosstalk.
Tahun Baru Cina di Pullman Kuching bukan sekadar soal hidangan, tetapi satu pengalaman menyeluruh yang menyatukan rasa, budaya, dan kegembiraan berkumpul bersama insan tersayang. Setiap momen di meja makan dirasai sebagai sambungan tradisi, sambil mencipta kenangan yang manis dan abadi. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments