| Gabungan hidangan bermakna dan suasana santai pulau menjadikan Aloft destinasi ideal untuk meraikan musim perayaan | FOTO: Aloft Langkawi |
MUSIM perayaan kali ini diraikan dengan pendekatan berbeza di Aloft Langkawi Pantai Tengah menerusi pengalaman kulinari istimewa yang menggabungkan kehangatan Tahun Baharu Cina bersama kemeriahan Ramadan dan Aidilfitri.
Bertempat di Nook, restoran sepanjang hari hotel ini, suasana santapan dihidupkan dengan gabungan rasa tradisi, konsep perkongsian dan sentuhan moden yang menjadikan setiap hidangan lebih bermakna.
Tahun Baharu Cina: Sajian Penuh Tradisi dan Kejutan Rasa
Bagi sambutan Tahun Baharu Cina, Nook mempersembahkan bufet perayaan yang diinspirasikan oleh nilai kemewahan, kebersamaan dan tradisi.
Pengalaman ini diperkaya dengan sajian utama seperti kambing panggang keseluruhan berempah Timur Tengah yang dipanggang perlahan sehingga teksturnya lembut dan berjus, serta ikan siakap kukus gaya Teochew yang disajikan dengan kuah aromatik dan sayuran jeruk yang menaikkan rasa semula jadi hidangan laut segar tersebut.
Antara momen paling dinanti adalah persembahan itik Peking yang diukir secara langsung di hadapan tetamu, menjadikan hidangan ini bukan sekadar sajian tetapi satu pengalaman visual yang meraikan tradisi.
Sajian malam ditutup dengan pencuci mulut klasik Cina yang membangkitkan rasa nostalgia dan melengkapkan suasana perayaan dengan manis yang seimbang.
| Sajian bufet Tahun Baharu Cina di Aloft Langkawi, menampilkan kombinasi tradisi dan kemewahan | FOTO: Aloft Langkawi |
Tegasnya, melalui konsep menjamu selera secara berkumpulan dan hidangan yang disusun dengan teliti, pihaknya berharap dapat mencipta detik di mana tetamu benar-benar merasai semangat perayaan dan keakraban sesama mereka.
Ramadan di Nook: Cita Rasa Asia Tenggara yang Menyegarkan
Menjelang Ramadan, Nook berubah wajah menjadi Rasai Nook Floating Market, diinspirasikan oleh suasana pasar malam Asia Tenggara yang meriah. Konsep ini menghimpunkan hidangan kegemaran kampung Melayu bersama elemen makanan jalanan Thai, menghasilkan gabungan rasa yang selesa namun penuh kejutan.
Pengalaman berbuka dimulakan dengan aneka salad Thai yang menyegarkan, diikuti mi bot berkuah pekat yang dimasak perlahan dengan ramuan aromatik.
Pilihan seterusnya termasuk hidangan panggang ala jalanan Thai yang berasap, kari berempah, serta roti leper yang dimasak segar, rangup di luar dan lembut di dalam.
Untuk pencuci mulut, sajian seperti pulut mangga dan Tub Tim Krob menjadi penutup yang menyejukkan selepas seharian berpuasa.
Antara hidangan kegemaran ramai yang kembali memeriahkan bufet Ramadan termasuk Gearbox Daging, Telur Ikan Mayong Asam Pedas, Nook Golek-Golek dengan kambing panggang keseluruhan bersama nasi briyani dum, serta ayam madu tradisional yang dipanggang sempurna dan dihidangkan dengan salsa berempah.
| Bufet Ramadan dan hidangan dulang Aidilfitri di Nook, gabungan citarasa tempatan dan Asia Tenggara | FOTO: Aloft Langkawi |
Menurutnya, konsep Rasai Nook Floating Market dicipta untuk menggabungkan rasa yang dekat di hati dengan pengaruh serantau, sejajar dengan falsafah ‘Different by Design’ yang menjadi identiti jenama Aloft.
Aidilfitri: Kemeriahan dan Sajian Klasik Tempatan
Selain pengalaman bufet, suasana Aidilfitri turut diraikan melalui hidangan dulang khas yang menampilkan pilihan klasik tempatan seperti lemang, ketupat palas, rendang, ayam masak merah, sambal tumis udang petai serta sayur lemak lodeh, lengkap dengan nasi minyak beras wangi.
Sajian ini disempurnakan dengan aneka kuih raya, bubur pulut hitam serta minuman tradisional yang menyegarkan.
Melengkapi pengalaman perayaan ini, Aloft Langkawi Pantai Tengah turut menawarkan penginapan bertema perayaan bagi tetamu yang ingin menikmati suasana cuti yang lebih menyeluruh.
Gabungan santapan bermakna dan suasana santai pulau menjadikan hotel ini destinasi ideal untuk meraikan musim perayaan dengan cara yang lebih intim dan berjiwa. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments