Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Rich Brian Umum Jelajah Where Is My Head? 2025


RICH Brian kembali gegarkan pentas dengan siri jelajah terbaharunya Where Is My Head? yang bakal bermula November ini, merentasi Asia dan berakhir di Hawaii.

Enam destinasi telah disahkan. Perjalanan bermula di Jakarta sebelum Brian terbang ke Taipei, Singapura, Hong Kong, Manila dan akhirnya Honolulu.

Antara tarikh penting yang patut dicatat: Jakarta di Beach City International Stadium (29 November), Taipei di Zepp New Taipei (1 Disember), Singapura di MediaCorp Theatre (3 Disember), Hong Kong di Clockenflap Festival (6 Disember), Manila di New Frontier Theatre (8 Disember) dan penutup di The Republik, Honolulu (11 Disember). Tiket boleh didapati melalui laman rasmi richbrian.net .

Siri jelajah ini hadir selepas pelancaran album terbaharu Brian, Where Is My Head?, yang rilis pada 15 Ogos lalu.

Album ini adalah album penuh pertamanya sejak 2019, sekali gus menjanjikan pengalaman segar dengan gabungan lagu baharu, pilihan kegemaran lama dan momen penuh emosi bersama para peminat.

Dua Dunia, Satu Brian

Album dengan 15 trek ini hampir sepenuhnya ditulis dan diterbitkan sendiri oleh Brian. Bukti betapa dia semakin menuntut kawalan penuh terhadap arah seni dan keaslian karyanya.

Daripada tema patah hati dan proses penyembuhan, ke ambisi dan rasa terasing, hinggalah kenangan dan pencarian identiti diri, setiap lagu seolah membawa kita masuk ke dalam diari jiwanya.

Kolaborasi bersama nama-nama besar seperti Toro y Moi, Charlotte Day Wilson, Daisy World, Ski Mask The Slump God, Kurtis Wells dan redveil menambahkan dimensi baharu dalam perjalanan muzik ini.

Brian tidak takut membuka sisi peribadinya, tentang luka akibat hubungan jangka panjang yang berakhir, rasa bersalah kerana terlepas detik keluarga yang penting, dan pergolakan mencari identiti di antara dua budaya serta ekspektasi dunia luar.

Secara konsep, album ini menghadirkan dua versi Brian iaitu Maestro, seorang konduktor yang mencipta muzik untuk mimpi Movie Brian, watak lain yang hidup tanpa sedar dalam dunia yang dicipta oleh Maestro.

Naratif surreal ini diterjemahkan melalui rangkaian muzik video dan visualiser arahan Jared Hogan, menjadikan pengalaman album ini lebih imersif, penuh emosi dan sinematik.

Dengan album yang sarat jiwa dan jelajah yang menjanjikan tenaga penuh semangat, Where Is My Head? bukan sekadar soal muzik tetapi ia adalah perjalanan seorang artis muda yang sedang menyusun semula dirinya, di hadapan mata dunia. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments