ALBUM sulung Audrey Hobert yang sangat dinanti-nantikan, Who’s the Clown?, akhirnya dilancarkan di bawah RCA Records pada 15 Ogos lalu.
Bukan itu sahaja, muzik video rasmi untuk single Thirst Trap yang diarahkan sendiri oleh Audrey turut ditayangkan pada hari sama menjadikan pelancaran ini sesuatu yang benar-benar istimewa.
Album dan single-single terdahulunya seperti Sue Me, Bowling Alley dan Wet Hair sudah pun menerima pujian hangat daripada pengkritik muzik.
Lagu Sue Me khususnya dianggap sebagai pembuka langkah yang berani dan segar, dengan melodi pop yang terus melekat di kepala dan lirik yang ringkas tetapi mengena.
Kritikan juga menyifatkan muzik Audrey sebagai kombinasi unik antara produksi indie sleaze yang bertenaga dengan pengakuan peribadi yang jujur, menjadikan karya-karyanya satu nafas baharu dalam dunia pop.
Malah, struktur penulisan lagunya dilihat seperti monolog teater, disunting dengan teliti agar setiap cerita dan melodi mengalir dengan jelas dan penuh ritma.
Dari Single Viral ke Album Penuh
Selepas kejayaan luar biasa single debut Sue Me, para peminat sudah lama menantikan projek penuh daripada Audrey. Dengan muzik video arahan sendiri yang kini ditonton lebih 850,000 kali dan lebih 33 juta strim global, Sue Me melonjak sebagai fenomena viral hanya dalam beberapa minggu selepas dilancar.
Tidak hairanlah apabila siri persembahan debut live Audrey pada Jun lalu di New York, Los Angeles dan London habis terjual.
Sepanjang setahun kebelakangan ini, Audrey sibuk menulis dan merakam muzik bersama rakan produksi Ricky Gourmet. Who’s the Clown? menjadi refleksi penuh visinya sendiri kerana inilah koleksi pertama lagu yang benar-benar ditulis untuk dirinya.
Menariknya, judul album dan konsep kulit album muncul secara spontan ketika Audrey terjaga awal pagi. Dari situlah lahir karya-karya lain yang ditulis di meja kerja, dalam aplikasi Notes di telefonnya, sewaktu berjalan kaki atau duduk di meja kopi.
Sejak kecil, Audrey sudah aktif sebagai penyanyi, peminat teater muzikal dan penari, malah dia mula mengenali dunia penulisan lagu apabila sahabat baiknya yang juga rakan sebilik, Gracie Abrams yang mengajaknya menyertai pembikinan album The Secret of Us.
Bersama Gracie, Audrey menulis beberapa lagu 'standout' seperti I Love You, I’m Sorry dan Risk termasuk mengarah muzik video untuk kedua-duanya serta terlibat dalam penghasilan mega hit global That’s So True.
Selepas projek itu, Audrey menandatangani kontrak penerbitan dan menangguhkan hasrat untuk menulis skrip TV. Namun ketika terus menulis, dia menyedari muzik yang dihasilkan itu adalah cerminan dirinya sendiri. Maka lahirlah projek yang kini menjadi milik semua.
Album Who’s the Clown? menampilkan 12 trek yang terdiri daripada I Like to Touch People, Sue me, Drive, Wet Hair, Bowling alley, Thirst Trap, Chateau, Sex and the City, Shooting star, Don’t Go Back to His Ass, Phoebe dan Silver Jubilee.
Dengan pelancaran Who’s the Clown?, Audrey Hobert bukan sahaja menegaskan dirinya sebagai bintang pop yang segar dan berani, malah membuka lembaran baru dalam perjalanan muziknya.
Album ini bukan sekadar koleksi lagu, tetapi cerminan visi kreatif dan keperibadian Audrey sendiri, menjanjikan pengalaman mendengar yang unik dan memukau untuk semua peminat lama dan baru. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments