Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kembali ke Malaysia, Lovechestra Mahalini Live In KL buat peminat teruja


PENYANYI popular Indonesia, Mahalini bakal tampil menghiburkan peminat di Malaysia menerusi sebuah konsert istimewa, Lovechestra Mahalini Live In KL yang akan berlangsung di Megastar Arena, KL @ Sg. Wang Plaza pada 3 Februari depan.

Menurut pemilik nama sebenar Ni Luh Ketut Mahalini Ayu Raharja, kembalinya dia ke Malaysia buat kedua kalinya kerana berasa rindu untuk menghiburkan peminatnya di sini.

"Sebenarnya idea di sebalik konsert ini muncul ketika konsert Fabula 1.0 dan 2.0 pada tahun lalu, di amna saya ingin memberikan sajian pertunjukan dan pengalaman berbeza dari sebelumnya dengan konsep muzik, busana, penari latar, kesan visual dan set pentas yang lebih menarik.

“Sudah pastinya saya juga merindukan peminat-peminat di Malaysia yang mahu saya kembali lagi.

Bertemakan 'Lovechestra’ (love + orchestra), ia menggabungkan gubahan dan susunan muzik orkestra yang berkisarkan kisah cinta, suka dan duka sepanjang karier seni serta peribadi Mahalini yang mudah didekati dan sentiasa membuat orang sekelilingnya senang.

Istimewanya konsert itu juga bakal menampilkan bintang undangan, Rizky Febian, selain akan dijayakan bersama 20 pemuzik tempatan terpilih.


Mahalini, 24, berkata, ketika ini dia masih lagi mempersiapkan diri dari segi susunan muzik yang baharu, latihan di studio dan lain-lain persiapan menjelang tarikh konsert.

“Konsert ini nanti dijangkakan akan berlangsung selama lebih kurang dua jam dengan hampir 15 sehingga 17 buah lagu yang akan dipersembahkan bersama-sama band saya sendiri yang dipanggil ‘Lini’ bersama pengarah muzik khas dari Indonesia iaitu Ronald Steven, Adrian Kitut, Raymond Aditya dan juga Dennis Nusi.

“Paling istimewa, Iky (Rizky Febian) akan turut serta membuat persembahan bersama saya nanti,” jelasnya.

Ditanya apakah yang penonton bakal rasai di konsert itu nanti, jawab  penyanyi lagu Sial itu berjanji akan memberikan terbaik buat mereka yang hadir nanti.

“Mereka akan terbawa ke dalam dunia saya melalui persembahan yang cukup istimewa, mereka akan merasai sendiri sebuah momen cerita indah dalam kehidupan mereka yang berawal dari karya-karya saya mewakili perasaan penonton semua.

“Jadi jangan lupa temujanji kita dan ‘yuk’ berhibur di konsert Lovechestra Mahalini nanti," katanya.

Lovechestra Mahalini Live In KL dibawakan oleh Alha Alfa dan Kharisma Music, selain konsert turut mendapat sokongan daripada rakan radio rasmi, ERA, Kayangan Gallery, Batik Air, dan HAPM.


Menurut Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music,  Ahmad Jeffny, pemilihan Mahalini untuk menjayakan konsert tersebut dibuat berdasarkan pencapaiannya dalam industri seni.

"Pemilihan Mahalini dibuat berdasarkan pencapaiannya dalam meraih pelbagai anugerah serta pengiktirafan di industri muzik Indonesia beserta jumlah penstriman yang tertinggi di Spotify (Indonesia), dengan karya-karya nyanyiannya yang sering menjadi viral di medsos.

"Ia juga adalah kerana sifat prihatin Kharisma Music dalam mengambil berat permintaan penggemar muzik di Malaysia yang mendambakan hiburan ‘live’ dalam bentuk fizikal," katanya.

Tiket-tiket konsert dijual dengan harga RM279 (Standing), RM299 (Gold Seated), RM399 (VIP Standing), RM429 (VIP Seated) dan RM799 (VVIP Seated). Pembelian boleh dibuat menerusi laman web www.ticket2u.com.my/mahalini .

Pembeli tiket konsert Lovechestra Mahalini Live In KL berpeluang memenangi cabutan bertuah dengan hadiah utamanya berupa sebuah kereta, serta hadiah-hadiah lain.  - 7KLIK


Post a Comment

0 Comments