Gandingan serasi Lee Dongwook dan Lee Sungkyoung dalam The Nice Guy | FOTO: Disney+ Hotstar |
GANDINGAN Lee Dongwook dan Lee Sungkyoung kembali menghiasi skrin Disney+ Hotstar menerusi The Nice Guy, drama Korea baharu yang bakal ditayangkan pada 18 Julai 2025.
Siri 14 episod ini mengisahkan perjalanan seorang bekas gangster yang cuba melarikan diri daripada bayang-bayang masa silamnya.
Dibesarkan dalam keluarga gangster generasi ketiga, hidup Seokcheol (lakonan Lee Dongwook) sejak kecil hanya dipenuhi dengan keganasan dan kesetiaan keluarga.
Bagi orang luar, dia hanyalah seorang samseng, tetapi di sebalik imej keras itu, Seokcheol sebenarnya menyimpan impian untuk melayari hidup tenang dan menjadi penulis seperti idolanya, Ernest Hemingway.
Segalanya berubah apabila Seok-cheol bertemu semula cinta pertamanya, Kang Miyoung (Lee Sungkyoung), seorang penyanyi yang masih bergelut dengan ketakutan di atas pentas.
Perjalanan mereka untuk melawan masa silam dan mengejar impian membuka lembaran baru dalam hidup masing-masing.
Visual Noir
The Nice Guy bukan sekadar drama aksi jenayah biasa. Siri ini membawa penonton menyelami konflik dalaman seorang lelaki yang terperangkap antara kesetiaan keluarga dan impian peribadi. Watak Seok-cheol digambarkan sebagai keras di luar, namun rapuh dan penuh harapan di dalam.
Visual drama ini turut mengetengahkan elemen noir yang gelap dan stylish, seperti poster promosinya yang memaparkan Seok-cheol duduk sendirian dalam gerabak subway dengan tagline penuh makna:
'It’s okay if my life gets a little ruined.'
Drama ini diarahkan oleh Song Hae-sung, dengan skrip ditulis oleh Kim Woon-kyung dan Kim Hyo-seok. Selain Lee Dongwook dan Lee Sungkyoung, drama ini turut dibintangi Ryu Hye-young sebagai adik Seok-cheol, Park Seok-hee.
The Nice Guy menjadi antara siri terbaharu dalam rangkaian drama Korea yang dinanti-nantikan di Disney+ Hotstar tahun ini.
Penonton boleh mula menstrim siri menarik ini bermula 18 Julai, dengan dua episod pertama ditayangkan serentak. Episod-episod berikutnya akan ditayangkan setiap Jumaat di Disney+ Hotstar Malaysia. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments