Bayi yang menerima rawatan pernafasan menggunakan nebulizer, cara biasa digunakan dalam wad pediatrik bagi merawat jangkitan saluran pernafasan seperti RSV. |
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, virus pernafasan semakin mendapat perhatian. Namun, masih ramai yang belum mengenali satu jangkitan penting: Respiratory Syncytial Virus (RSV).
Walaupun kurang dikenali, virus ini sebenarnya merupakan penyebab utama masalah pernafasan serius, terutamanya dalam kalangan bayi bawah enam bulan dan warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Secara global, RSV menyebabkan lebih 33 juta jangkitan saluran pernafasan bawah dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun setiap tahun. Daripada jumlah itu, 3.6 juta kes memerlukan rawatan di hospital dan hampir 100,000 kes berakhir dengan kematian.
Warga emas yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, jantung atau asma turut berisiko tinggi mendapat komplikasi teruk akibat RSV. Di Malaysia, RSV berlaku sepanjang tahun, tetapi lazimnya meningkat pada musim hujan antara Ogos hingga Januari.
Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Intensif Pediatrik, Dr. Gan Chin Seng, situasi ini sering kali membimbangkan kerana jangkitan RSV mampu menyebabkan bayi yang sebelum ini kelihatan sihat tiba-tiba mengalami masalah pernafasan yang teruk.
"Ramai bayi yang sihat tiba-tiba perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi kerana mengalami kesukaran bernafas akibat RSV. Ada yang baru beberapa minggu lahir sudah memerlukan bantuan pernafasan," ujarnya.
"Saya seorang doktor, tetapi apabila anak saya sukar bernafas dan memerlukan oksigen, saya berasa sangat tidak berdaya. Dari situ saya sedar betapa pentingnya pencegahan awal," katanya.
Langkah Melindungi Bayi Sejak Dalam Kandungan
Dr. Gayathri kini giat memberi kesedaran kepada ibu hamil tentang kepentingan perlindungan awal. Vaksinasi semasa kehamilan seperti tetanus, influenza dan pertusis boleh menyalurkan antibodi perlindungan kepada bayi.
Ini penting kerana bayi baru lahir masih terlalu kecil untuk menerima vaksin sendiri, jadi antibodi daripada ibu memberikan perlindungan penting dalam bulan-bulan pertama kehidupan mereka.
"Ibu yang divaksin ibarat selimut tidak kelihatan yang melindungi bayi sebelum mereka sempat menarik nafas pertama," jelas Dr. Gayathri.
Walaupun vaksin khusus RSV untuk ibu hamil belum diamalkan secara rutin di Malaysia, usaha kajian global sedang dijalankan untuk menilai keberkesanan dan keselamatannya.
Hasil kajian ini diharapkan dapat membuka laluan kepada perlindungan lebih meluas pada masa hadapan, terutamanya bagi melindungi bayi baru lahir dalam tempoh awal kehidupan mereka yang paling berisiko.
Lebih Daripada Sekadar Penyakit Fizikal
RSV bukan sekadar memberi kesan kepada tubuh, tetapi turut memberikan beban emosi dan kewangan. Kajian antarabangsa di Netherlands menunjukkan hampir 30% ibu bapa yang anaknya dimasukkan ke hospital akibat RSV mengalami tekanan pascatrauma. Kos rawatan dan cuti kerja juga memberi tekanan kepada keluarga.
"Jika kita dapat mencegah walaupun satu keluarga daripada melalui apa yang saya alami, segala usaha ini berbaloi," kata Dr. Gayathri.
Ramai menganggap RSV hanya menyerang kanak-kanak, tetapi warga emas juga berisiko tinggi. Lebih separuh juta rakyat Malaysia mempunyai empat atau lebih penyakit kronik, jadi apabila dijangkiti RSV, risiko pneumonia dan kegagalan organ meningkat.
Masalah ini bertambah rumit kerana ramai rakyat Malaysia tinggal serumah bersama pelbagai generasi. Apabila bayi dan datuk nenek tinggal sebumbung, risiko jangkitan lebih tinggi. Tambahan pula pada musim perayaan atau tempoh berpantang.
"Melindungi seorang dalam keluarga bermaksud kita melindungi semua orang di bawah satu bumbung," kata Dr. Gayathri.
Kenali Tanda-Tanda Awal
Gejala RSV biasanya bermula dengan batuk, nafas berbunyi, kesukaran bernafas, keletihan melampau dan kurang selera makan.
Bagi warga emas pula, tanda-tanda ini kadang-kadang tidak begitu jelas, malah mungkin disalah anggap sebagai keletihan biasa, kekeliruan atau demam ringan yang sering dikaitkan dengan faktor usia.
"Kebiasaannya apabila warga emas datang mendapatkan rawatan, keadaan mereka sudah serius kerana pada awalnya disangka hanya gejala biasa," kata Dr. Gan.
Ketika musim hujan ini, pakar perubatan Malaysia menggesa semua pihak bertindak awal. Jangan tunggu sehingga ada bayi dimasukkan ke ICU atau nenek mengalami sesak nafas baru mahu bertindak.
"Vaksinasi bukan hanya untuk mereka yang sedang sakit, tetapi untuk melindungi mereka yang sihat supaya kekal sihat," pesan Dr. Gan.
ARTIKEL LAIN:
0 Comments