AKTRES terkenal Bollywood, Deepika Padukone melakar sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai artis India pertama yang bakal menerima penghormatan bintang di Hollywood Walk of Fame, Los Angeles, Amerika Syarikat.
Pemilihan Deepika diumumkan oleh The Hollywood Chamber of Commerce bagi edisi 2026, bersama 35 selebriti dunia lain yang turut menerima pengiktirafan berprestij itu.
Antara termasuk Demi Moore, Emily Blunt, Rachel McAdams, Timothée Chalamet, Rami Malek dan Stanley Tucci.
Proses pemilihan itu dikatakan melalui saringan ketat membabitkan ratusan pencalonan dari seluruh dunia, berdasarkan sumbangan dalam industri hiburan serta impak budaya yang dibawa oleh setiap artis.
Deepika, 39, yang juga isteri kepada pelakon terkenal Ranveer Singh, berkongsi rasa syukurnya dengan satu perkataan ringkas, 'Gratitude', menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Pencapaian itu turut mendapat sokongan rakan selebriti seperti Freida Pinto yang menyifatkan pengiktirafan itu sebagai sesuatu yang patut dibanggakan, selain menerima ucapan istimewa daripada Ranveer Singh yang menyokong penuh kejayaan isterinya.
Bagaimanapun, pengumuman ini turut mengundang reaksi bercampur-campur dalam kalangan netizen di media sosial.
Ada yang menyambutnya dengan positif, dan tidak kurang yang mempersoalkan pemilihan tersebut memandangkan Deepika hanya pernah membintangi satu filem Hollywood, iaitu XXX: Return of Xander Cage yang ditayangkan pada 2017.
Berbeza dengan Priyanka Chopra yang lebih aktif membina nama di Hollywood menerusi pelbagai filem dan siri TV, menyebabkan ada pihak merasakan Priyanka lebih layak menerima penghormatan tersebut.
Namun begitu, pemilihan Walk of Fame tidak hanya mengambil kira jumlah projek Hollywood semata-mata. Kriteria lain termasuklah pengaruh global, sumbangan kepada komuniti, serta usaha memartabatkan seni di peringkat antarabangsa.
Pengaruh Tersendiri
Deepika sendiri mempunyai rekod tersendiri dalam memperjuangkan kesihatan mental menerusi yayasan The Live Love Laugh Foundation, selain menjadi wajah global untuk jenama mewah seperti Cartier dan Louis Vuitton.
Sejak memulakan kerjaya lakonannya menerusi filem Om Shanti Om pada 2007, Deepika terus berkembang menjadi antara figura paling berpengaruh di Bollywood dan dunia.
Dia juga turut tersenarai dalam TIME 100 Most Influential People dan menerima Crystal Award oleh World Economic Forum atas usaha advokasi kesihatan mental.
Pada 2023, Deepika menjadi penyampai anugerah di Academy Awards, selain turut membawa trofi ke tengah padang ketika final Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar, satu penghormatan besar dalam karier antarabangsanya.
Dengan pencapaian ini, Deepika Padukone bukan sahaja melakar sejarah peribadi, tetapi turut membuka jalan lebih luas buat artis India dan Asia Selatan dalam industri hiburan global yang selama ini didominasi oleh bintang-bintang Barat. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments