Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Konsert Und3rground satukan Butterfingers, Hujan, Bunkface pada satu pentas


HITMAN Solutions terus menyajikan hiburan tanpa henti buat halwa telinga penggemar muzik terutamanya peminat muzik rock menerusi penganjuran konsert Und3rground dengan menggabungkan tiga gergasi band indie negara di atas satu pentas.

Konsert yang bakal menampilkan Butterfingers, Hujan dan Bunkface itu akan berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 2 Mac depan.

Persembahan yang cukup dinantikan peminat muzik tanah air itu direncanakan berlangsung selama tiga jam di mana setiap band akan membuat persembahan selama 45 minit dengan menyanyikan karya-karya klasik mereka.

Pada acara sidang media konsert berkenaan di The Estate On Federal Hill baru-baru ini, sebuah replika gitar gergasi setinggi 10-meter dijadikan ikon promosi konsert Und3rground, yang akan diiktiraf sebagai 'The Biggest Inflatable Guitar in Malaysia' oleh Malaysian Book of Records.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal, berkata, sebagai resolusi tahun baharu, pihaknya melangkah ke hadapan dengan momentum positif menerusi beberapa acara yang sudah pun direncanakan.

“Nama-nama besar seperti Butterfingers, Hujan dan Bunkface meninggalkan legasi yang kuat dalam arena indie ketika era 'band' berkembang. Jadi kami ingin raikan setiap perjalanan karier mereka melalui sebuah konsert rock epik yang mengiktiraf pencapaian mereka dalam industri muzik kita.

“Kami mengambil pendekatan konsep ‘underground’ yang membawa semula era dan atmosfera gig yang menyatukan ketiga-tiga band legenda ini untuk beraksi bersama sambil memberikan pengalaman yang unik khusus buat peminat indie tempatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, penganjuran konsert tersebut juga diharapkan dapat memberi lebih pilihan kepada penonton untuk menikmati muzik kegemaran mereka.

“Konsert ini bukan sekadar satu acara, tetapi sebuah pengalaman indie yang yang tidak pernah dilakukan sebelum ini,

"Kami ingin penonton yang hadir merasai sendiri ‘feel’ sebenar konsert indie dalam semua aspek dengan menyaksikan sendiri perintis genre ini di atas satu pentas dengan harapan agar ia menjadi pengalaman yang tidak terlupakan," katanya.

Tiket konsert dijual dengan RM149 untuk kategori Rockzone - Early Bird, RM199 (Rockzone - Phase 1), RM249 (Rockzone - Phase 2), RM299 (Mosh Tix) dan RM499 (Vibers Pit). Pembelian boleh dilakukan menerusi pautan www.hitmanlive.com - 7KLIK



[FOTO: Hitman Solutions]

Post a Comment

0 Comments