Oleh: AILEEN ADAM
KUMPULAN gadis berinspirasikan hip hop dan R&B, XG, kini secara rasmi diumumkan sebagai duta global G-SHOCK, jenama jam tangan ikonik dari Casio yang terkenal dengan reka bentuk tahan lasak dan tahan hentakan.
Dianggotai tujuh ahli iaitu Jurin, Chisa, Hinata, Harvey, Juria, Maya dan Cocona, XG terus melakar kejayaan sejak debut pada Mac 2022 menerusi single pertama mereka, Tippy Toes.
Sejak itu, mereka meraih perhatian antarabangsa termasuk menjadi artis Jepun pertama yang menduduki tangga teratas carta Billboard’s Hot Trending Songs Powered by Twitter, selain menjadi girl group Jepun pertama menghiasi muka depan majalah Billboard.
Tahun 2025 menyaksikan satu lagi pencapaian bersejarah apabila XG menjadi artis Jepun pertama mengetuai pentas Sahara di Coachella Valley Music and Arts Festival. Persembahan mereka menerima pujian meluas daripada media Jepun dan global.
XG juga baru sahaja menamatkan konsert jelajah dunia pertama mereka, XG 1st World Tour: The first HOWL, melibatkan 47 persembahan di 35 bandar merentasi 18 negara dan wilayah, dengan kemuncak penutup di Tokyo Dome pada 14 Mei yang menyaksikan tiket persembahan 'sold out' dengan kehadiran 50,000 peminat.
Lembaran Baharu
Keunikan XG yang memperkenalkan genre sendiri, X-POP, melangkaui kategori J-POP atau K-POP biasa, selari dengan semangat G-SHOCK yang sentiasa berani mencipta kelainan.
G-SHOCK, yang sinonim dengan ketahanan dan rekaan unik, menemui sinergi dengan semangat XG yang tidak takut mendobrak sempadan muzik dan dari situ lahirlah kolaborasi sebagai duta global.
Bersempena pelantikan ini, laman khas dengan visual eksklusif dan video promosi telah dilancarkan. Mengangkat slogan ‘No Destination’, video tersebut membawa mesej berani melangkah ke hadapan tanpa rasa takut, menggambarkan permulaan perjalanan baharu buat XG dan G-SHOCK.
Projek kreatif ini diketuai oleh YAR, pasukan kreatif yang diterajui artis terkenal Jepun, Yoshirotten, mempersembahkan sentuhan visual yang segar dan bertenaga.
Berkongsi rasa teruja mereka sebagai duta global, XG yakin kolaborasi ini akan membuka lembaran baharu buat mereka, sambil memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus melangkah ke depan tanpa rasa takut.
“Setiap kali kami lihat G-SHOCK, ia ingatkan kami pada diri sendiri yang dulu iaitu berani kejar impian dan tak pernah putus asa walaupun susah. G-SHOCK beri kami semangat untuk terus maju! XG-SHOCK Let’s Go!,” katanya.
Dengan semangat berani dan penuh inspirasi, kolaborasi XG bersama G-SHOCK bukan sekadar kempen fesyen biasa tetapi ia adalah simbol perjalanan tanpa batasan, di mana muzik dan gaya hidup bertemu dalam satu misi yang sama: terus mara ke hadapan, tanpa takut pada apa jua cabaran. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments