Lisa, Rosé, Jisoo dan Jennie tampil dengan persembahan mantap dan berimpak di konsert pembukaan Deadline World Tour di Stadium Goyang, Seoul |
Oleh: AILEEN ADAM
BLACKPINK memulakan ‘Deadline World Tour’ dengan dua malam persembahan di Stadium Goyang, Seoul, Korea Selatan menghimpunkan lebih 78,000 peminat setiap malam pada 5 dan 6 Julai lalu.
Konsert ini bukan sekadar ulangan kejayaan lama, tetapi membuktikan status mereka sebagai salah satu 'girl group' global paling berpengaruh hari ini.
Buat pertama kalinya dalam sejarah, BLACKPINK yang diangootai oleh Jennie, Jisoo, Rosé dan Lisa itu menjadi kumpulan K-pop wanita yang mengadakan konsert berskala besar di Stadium Goyang. Tiket habis terjual sebaik sahaja dibuka, membuktikan penantian dan keterujaan peminat terhadap 'comeback' mereka.
Setlist malam itu menggabungkan lagu-lagu ikonik BLACKPINK seperti Kill This Love, Pink Venom, How You Like That, Playing With Fire, Shut Down, Pretty Savage, Don't Know What To Do, Whistle, Stay, Lovesick Girls, Boombayah, Ddu-Du Ddu-Du, As If It’s Your Last dan Forever Young.
Setiap anggota BLACKPINK turut tampil dengan persembahan solo masing-masing yang menonjolkan identiti muzik dan keunikan tersendiri menerusi lagu-lagu yang dimuatkan dalam album solo terbaharu mereka.
Jisoo mempersembahkan Earthquake dan Your Love, Lisa dengan New Woman dan Rockstar, manakala Rosé menyentuh emosi penonton dengan 3am, Toxic Till The End dan APT.
Sementara Jennie pula paling mencuri perhatian apabila tampil dengan energi luar biasa dan penguasaan pentas yang mantap menerusi hits solonya iaitu Mantra, With The IE (Way Up) dan Like Jennie.
Debut Single Jump
Paling istimewa, konsert pembukaan itu turut menyaksikan debut single terbaharu BLACKPINK berjudul Jump, dipersembahkan buat pertama kalinya secara 'live' di hadapan penonton.
Suasana di Stadium Goyang seperti festival muzik antarabangsa, meriah dengan pertunjukan bunga api, drone, paparan visual LED dan sokongan padu penonton yang hadir melengkapkan misi produksi berskala mega itu.
Malah difahamkan Jennie, Jisoo, Rosé dan Lisa terlibat secara langsung dalam perancangan konsep dan koreografi pentas, sekali gus memberi sentuhan peribadi pada keseluruhan persembahan.
Namun, bukan semuanya sempurna, beberapa isu dibangkitkan dan menjadi perbualan hangat di media sosial. BLACKPINK yang bakal menyambut ulang tahun kesembilan pada 8 Ogos ini dikritik kerana menampilkan setlist yang didakwa banyak lagu lama dan segmen solo yang agak panjang.
Isu teknikal di zon penonton N3 yang terhalang pandangan turut menjadi perdebatan, sebelum YG Entertainment tampil memohon maaf dan dikatakan bakal menawarkan pampasan kepada penonton terlibat.
Walaupun begitu, secara keseluruhannya reaksi peminat terhadap konsert pembukaan Deadline World Tour sangat positif. Energi pentas dan 'chemistry' mereka dipuji ramai, membuktikan pengaruh BLACKPINK masih kekal di puncak.
Dengan debut lagu Jump yang bakal dilancarkan secara rasmi pada 11 Julai ini, BLACKPINK bersedia membawa semangat ‘Deadline’ ke lebih 16 bandar seluruh dunia termasuk Los Angeles, Toronto, Paris, London, Milan, Barcelona, Bangkok, Tokyo, Singapore, Indonesia dan lain-lain.
Konsert pembukaan ini bukan sekadar permulaan biasa, ia menjadi bukti bahawa kumpulan K-Pop sensasi itu masih bernafas sebagai fenomena global, dan kisah mereka masih jauh daripada tamat. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments