Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal bakal hangatkan DFP


ORKESTRA Filharmonik Malaysia (Malaysian Philharmonic Orchestra - MPO) akan mempersembahkan sisi muzik berbeza dengan membawakan konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Bakal berlangsung pada 2 Mac depan, jam 8.30 malam, konsert yang dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose itu akan menampilkan bintang legenda, Datuk Yusni Hamid bersama penyanyi generasi baharu, Asmidar dan Haziq Rosebi.

Kombinasi dinamik ini bakal menjadi sebuah sinergi untuk kelangsungan legasi irama keroncong dan ghazal agar terus hidup dan tidak hilang ditelan zaman.

Istimewanya, konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal itu akan menyaksikan rangkuman tradisi dan muzik harmoni dalam satu keraian budaya yang gemilang. 

Layari perjalanan indah apabila irama keroncong dan ghazal bergabung dengan keunggulan muzik MPO melalui karya malar segar seperti Sayang Di Sayang, Bisikan Hati, Dari Hati Ke Hati, Jauh Di Mata, Penawar Rindu, Seri Mersing, Empat Dara, Juwitaku Sayang dan Selasihku Sayang.

Kesemua lagu-lagu itersebut akan digubah untuk persembahan orkestra oleh Luqman Aziz, Ilham Subri, Azhad Sulaiman dan Ahmad Muriz Che Rose sendiri.


Dalam pada itu, MPO akan terus menyajikan persembahan terbaik melalui program pelbagai corak untuk semua lapisan.

"Anda telah menjadi sumber inspirasi dan motivasi kami sepanjang segala usaha, komitmen dan cabaran yang kami hadapi. Peminat muzik tanah air sentiasa menjadi sumber inspirasi dan motivasi MPO sepanjang segala usaha, komitmen dan cabaran yang dihadapi.

"Semua pencapaian kami sehingga ke hari ini disebabkan oleh sokongan dan kesetiaan anda. Jadilah penunjang yang sentiasa mendorong kami. Sumbangan kepada MPO boleh disalurkan di mpo.com.my/donate .

"Segala sumbangan yang diberikan akan disalurkan untuk terus memupuk bakat seni tempatan, menyajikan penonton kami dengan pelbagai pilihan muzik dan persembahan-persembahan yang menarik, dan untuk terus menyebarkan keindahan muzik kepada semua," kata MPO dalam satu kenyataan.

Kali terakhir MPO mempersembahkan konsert bertemakan tradisional ialah pada tahun 2012 melalui konsert Keroncong Merdeka.

Tiket konsert dijual dengan harga RM408, RM368, RM298, RM218, RM458, RM498. (Meet & Greet: tambahan RM80 untuk semua kategori tiket). Pembelian boleh dibuat menerusi kaunter Box Office dan laman web MPO: www.mpo.com.my .  - 7KLIK




[FOTO: Dewan Filharmonik PETRONAS - Terima kasih Harry Jalil]

Post a Comment

Previous Post Next Post