HANYA kerana sebiji epal yang tidak diisytihar dalam beg, pelakon Datin Seri Umie Aida berdepan insiden tidak disangka apabila dikenakan denda oleh pihak Biosekuriti New Zealand sejurus tiba di Lapangan Terbang Auckland, baru-baru ini.
Atas kesalahan tersebut, pemilik nama sebenar Umi Khalsum Rahmad Ali, 51, dikenakan denda sebanyak NZD400 (kira-kira RM1,000) selepas buah epal itu dikesan melalui alat pengimbas oleh pegawai imigresen.
Umie mengakui kejadian itu berpunca daripada kecuaian dirinya sendiri dan menganggap ia sebagai satu pengalaman yang menjadi pengajaran berharga dalam hidupnya.
Menerusi satu perkongsian di laman Thread miliknya, Umie menjelaskan, dia sebenarnya tidak membawa sebarang makanan semasa berangkat ke New Zealand.
Namun ketika berada di ruang rehat Malaysia Airlines (MAS), dia mengambil sebiji epal sebagai bekalan makanan ketika berada di dalam kapal terbang.
"Ini namanya takdir. Saya memang tidak bawa makanan ke New Zealand kerana ingin memudahkan urusan ketika di kaunter Imigresen.
"Nak dijadikan cerita, ketika berada di lounge MAS Airlines, saya ambil sebiji epal untuk makan dalam penerbangan tetapi disebabkan keletihan saya tertidur dan lupa mengenai epal itu," katanya.
Tambah bintang filem Dukun itu lagi, sebaik tiba di Auckland, begnya diimbas dan pegawai bertugas mengesan epal tersebut dan dikenakan denda NZD400.
Difahamkan, Umie kii berada di New Zealand sejak 1 Julai lalu bagi menjalani penggambaran sebuah drama bersiri yang turut dibintangi Nora Danish, Datuk Remy Ishak dan Fattah Amin.
Insiden kecil yang dialami Umie Aida ini wajar dijadikan peringatan untuk lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan ketika melancong ke luar negara, terutama di negara yang mempunyai undang-undang ketat berkaitan biosekuriti seperti New Zealand. - 7KLIK
0 Comments