Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Tourism Selangor terus melangkah ke hadapan




TAHUN 2023 semakin hampir dan agensi promosi pelancongan rasmi negeri Selangor, Tourism Selangor terus merancang untuk lebih relevan dan bergiat aktif mempromosikan pelancongan untuk Negeri Selangor dengan lebih kukuh berbanding sebelum ini.

Dengan pelbagai inisiatif baharu yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan, negeri Selangor akan mengekalkan jumlah kedatangan pelancong domestik tertinggi seperti tahun sebelumnya.

Bagi tahun akan datang, Tourism Selangor telah mengambil pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk memperkasakan kempen promosi pelancongan Negeri bagi pasaran domestik dan antarabangsa, 'Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!' dan 'Splendid Selangor, Take Me Anywhere!'.

Sejak pembukaan semula sempadan Malaysia, sektor pelancongan telah mula kembali pulih di mana Selangor kekal sebagai negeri yang paling ramai dikunjungi di Malaysia sebanyak 10.2 juta pelawat bagi tahun 2021.

Melangkah ke tahun 2023, Tourism Selangor berazam untuk mengekalkan Negeri Selangor sebagai destinasi terpilih di samping meningkatkan jumlah kedatangan pelancong, sama ada dari dalam atau luar negara.

Dengan peruntukan melebihi RM 114.6 juta yang dikhaskan bagi pelbagai pakej rangsangan ekonomi oleh Kerajaan Negeri seperti Selangor Maritime Gateway, Kita Selangor, geran pelancongan dan aplikasi mudah alih Go Selangor, ianya dijangka mampu mengukuhkan pemulihan sektor pelancongan di Selangor.

Ini juga akan disokong lagi dengan peruntukan sebanyak RM6 Juta melalui Belanjawan Selangor 2023 untuk memperkasakan industri pelancongan.

Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, dalam satu kenyataan berkata, bagi memastikan Negeri Selangor terus berdaya tahan Tourism Selangor akan meningkatkan kerjasama dengan pakar dan pemain industri pelancongan yang mempunyai akses kepada strategi perniagaan yang inovatif dan prospek terbaru.

Tourism Selangor Global Convention 2023 juga akan diadakan dengan menumpukan kepada pameran pelancongan dengan menggunakan konsep Business to Consumer (B2C) di samping meningkatkan profil pelancongan antarabangsa Negeri Selangor.

Menuju ke arah Pelancongan 4.0, Tourism Selangor akan mengekalkan dan meningkatkan lagi pendekatannya dalam mempromosikan tarikan pelancongan di Selangor secara digital. Tourism Selangor telah berjaya mengalihkan 90% usaha promosinya melalui rangkaian digital.

Strategi ini bukan sahaja telah menerapkan IR 4.0 dengan berkesan, malah kesemua inisiatif ini juga dirangka selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam usaha menjadikan Selangor sebuah negeri pintar, berdaya huni dan makmur menjelang tahun 2025.

Menjelang penghujung tahun 2022, Tourism Selangor telah memaparkan segala usaha dalam mencapai pembangunan seimbang yang memberi manfaat kepada hal ehwal ekonomi negeri dan rakyat. Melangkah ke lembaran yang baharu, Tourism Selangor akan berusaha untuk menerokai peluang yang lebih baik dan mencapai matlamat sebagai pemain utama dalam industri pelancongan. - 7KLIK






Post a Comment

0 Comments